Alif Satar jadi penerbit




Belum lagi memiliki rumah produksi sendiri, kerja penerbitan Alif ini digerakkan bersama seorang rakan kongsi bawah bumbung Cue Pro Proction.

Lebih sedekad berkecimpung dalam bidang seni, figura berbakat besar, Alif Satar melangkah setapak ke hadapan apabila menggalas peranan sebagai penerbit untuk sebuah projek drama berjudul Rindu Cinta Zulaikha untuk siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Kata Alif atau nama sebenarnya, Muhammad Alif Mohd. Satar, dia ingin meluaskan pengalamannya dalam bidang seni dengan mencuba sesuatu yang baharu dan memberi manfaat.

Bagaimanapun, buat masa sekarang, ditanya sama ada dia akan terjun ke dalam bidang pengarahan, pelakon lagu Sesungguhnya Aku itu belum bersedia.

Ditemui Kosmo! pada acara memperkenalkan dirinya sebagai duta Harman Studio, Alif turut mendedahkan isterinya, Sha Dila Halid bakal bersalin anak ketiga sekitar Oktober tahun ini.

Selain itu, Alif berkongsi pengalaman sewaktu mengadakan persembahan di Sheffield, United Kingdom (UK) Februari lalu.

Tahniah kerana dilantik sebagai duta Harman Studio. Makin murah rezeki Alif untuk tahun 2019.

ALIF SATAR: Alhamdulillah, Harman Studio adalah jenama pertama untuk saya sebagai duta bagi tahun 2019.

Saya sangat teruja kerana bukan sahaja menjalankan tanggungjawab sebagai duta, barangan daripada Harman seperti JBL memang digunakan dalam kehidupan seharian.

Senang cerita, memang kena dengan minat saya yang tidak tertumpu hanya dalam bidang seni sahaja. Saya juga suka bersukan, jadi peranan sebagai duta akan saya gunakan sebaik mungkin.

Anda baru sahaja mengadakan persembahan di UK baru-baru ini, boleh ceritakan sedikit pengalaman tersebut?

Ikut perancangan, persembahan sepatutnya berlangsung di dua lokasi iaitu di Sheffield dan Bristol. Entah bagaimana, semuanya sudah tertumpu di Sheffield, jadi persembahan di Bristol tidak dilangsungkan.

Di sana saya buat persembahan di hadapan sekitar 500 penonton. Majoritinya adalah pelajar yang menuntut di UK. Pengalaman mengadakan persembahan selama sejam di sana sangat menyeronokkan. Saya mendendangkan kira-kira 15 buah lagu termasuk lagu sendiri dan saduran.

Bagaimana penerimaan penonton yang hadir ke persembahan tersebut?

Satu perkara yang membuatkan saya ‘tersedar’ adalah sebenarnya saya sudah tua. Ramai penonton di sana datang kepada saya dan memberitahu, mereka dengar lagu dendangan saya seperti Jangan Nakal dan Khayal ketika berada di bangku sekolah.

Bermakna waktu itu saya mungkin baru sahaja meninggalkan zaman persekolahan. Biarpun persembahan hanya berskala kecil tetapi saya sangat beremosi kerana tidak sangka mereka membesar dengan muzik saya. Sekarang, saya sudah berkahwin dan bakal menimang cahaya mata ketiga tidak lama lagi. Inilah putaran hidup.

Bercakap tentang cahaya mata, bagaimana keadaan isteri anda sekarang?

Alhamdulillah, usia kandungannya sudah 12 minggu dan dijangka bersalin pada Oktober tahun ini. Orang tanya saya, mahu anak lelaki atau perempuan kali ini. Mungkin kedengaran klise, namun saya hanya mengharapkan anak yang bakal lahir nanti sihat walafiat. Bagaimanapun, jauh dari sudut hati, saya mahukan anak lelaki. Isteri alami alahan yang agak teruk berbanding dua anak sebelum ini namun semuanya berada dalam keadaan yang terkawal.

Sebenarnya, saya mendapat jemputan untuk kembali ke UK pada hujung September tahun ini namun terpaksa menolak kerana itu waktu genting (isteri bersalin). Saya perlu berada di sampingnya pada saat dia memerlukan. Insya-Allah, ada rezeki lain nanti.

Baiklah, boleh kongsi sedikit tentang pengalaman anda bergelar penerbit untuk satu projek drama.

Drama tersebut berjudul Rindu Cinta Zulaikha. Pertama kali menjadi penerbit, rasanya begitu teruja. Pengalaman ini sangat istimewa kerana selepas 14 tahun dalam industri, saya rasa sudah tiba waktu untuk saya bergerak setapak ke hadapan mencuba sesuatu yang baharu. Saya mahu bekerja secara serius dalam bidang ini. Lakonan, nyanyian dan pengacaraan tetap diteruskan, namun saya mahu cuba sesuatu yang baharu. Insya-Allah, selepas ini saya akan bertindak sebagai penerbit untuk sebuah lagi projek penerbitan bersama seorang rakan kongsi.

Adakah anda bergelar pengarah pula selepas ini?

Saya tiada kesabaran untuk bergelar pengarah. Mungkin tidak buat masa sekarang. Tahun 2019 banyak perkara yang ingin saya kerjakan. Jenama pakaian saya, Buranku juga memerlukan perhatian. Musim perayaan akan tiba tidak lama lagi. Sudah tentu banyak perkara yang perlu dilakukan.

Menyentuh sedikit hal peribadi, apa komen Alif apabila ada segelintir orang yang berfikiran bahawa anda suka menunjuk-nunjuk apabila berkongsi gambar ketika berada di masjid?

Saya tidak tahu mahu beri reaksi yang bagaimana. Saya rasa tidak salah berkongsi hal kebaikan. Beginilah, kita sekarang berada pada zaman macam-macam perkara boleh berlaku.

Saya muat naik satu foto buat kebaikan, insya-Allah, siapa tahu kebaikan itu akan pergi kepada orang lain. Siapa tahu orang lain pun akan ke masjid. Kita tidak tahu. Tidak boleh puaskan hati semua orang. Kita buat sahaja apa yang kita mahu dan mampu.

Post a Comment

Previous Post Next Post