Pelakon Izzue Islam melahirkan rasa kecewa kerana masih belum menerima bayaran daripada individu perantara yang bertanggungjawab menawarkannya pekerjaan berupa kempen media sosial sejak 2016.
Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam, 29, menjelaskan, hutang yang terkumpul sejak tiga tahun kini mencecah puluhan ribu.
“Saya berasa sangat kecewa dengan sikapnya memandangkan saya dan dia mempunyai hubungan yang baik.
“Bagaimanapun, sehingga ke hari ini, dia tidak membayar baki bayaran yang sepatutnya dijelaskan beberapa tahun lalu,” ujar Izzue ketika ditemui pada jelajah Drama Festival Kuala Lumpur 2019 (DFKL2019) di ibu pejabat Kumpulan Utusan, Jalan Chan Sow Lin di sini sebentar tadi.
Dalam pada itu, Izzue menambahkan, dia hanya akan mengambil tindakan undang-undang jika individu tersebut masih enggan membayar hutangnya.
“Kita kenal antara satu dengan lain, semuanya boleh bawa berbincang. Cuma, saya sedih, sejak kebelakangan ini, dia seperti menghilangkan diri. Agak sukar untuk menghubunginya.
“Jika benar dia tidak mahu bayar, mungkin saya akan membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang,” katanya lagi.
Izzue turut menjelaskan, individu terbabit juga mempunyai masalah yang sama dengan beberapa artis tempatan.
Namun sehingga kini, mereka masih belum menerima bayaran seperti dijanjikan.