Mona Allen dan Pekin Ibrahim bercinta sejak 2 tahun, tiada niat nak sorok




Mona dan Pekin memilih untuk tidak terlalu berkongsi mengenai kisah peribadi di laman sosial.

Pelakon Mona Ellen mendedahkan dia mula menjalinkan hubungan cinta dengan suaminya iaitu Pekin Ibrahim sejak dua tahun lalu.

Mona atau nama sebenarnya Munna Hafiraneza Allen, 34, berkata dia tidak menyorok atau merahsiakan hubungan mereka seperti yang didakwa.

Namun, pelakon drama bersiri Monalisa dan suaminya yang juga pelakon dan pengarah itu lebih memilih untuk tidak terlalu terbuka mengenai kisah peribadi.



Mona dan Pekin bernikah pada 7 Disember lalu.

"Sebenarnya dah lama juga saya bersama Pekin. Boleh dikatakan hampir dua tahun. Bukan kami sorok atau nak merahsiakan daripada pengetahuan umum.

"Cuma pengalaman yang lepas-lepas mengajar kami. Tapi kalau orang jumpa dekat luar, peminat tahu sahaja sebab mereka ada saja ambil gambar bersama.

"Lagipun, kami tak nak terlalu terbuka berkongsi kisah peribadi di laman sosial. Kalau ada yang perlu dikongsi, kami akan kongsi," kata Mona kepada mStar Online.

Mona ditemui ketika sesi uji bakat Siri Jelajah Drama Festival Kuala Lumpur 2019 (DFKL2019) di Sri Pentas, Petaling Jaya, pada Ahad.

Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim, 37, bergelar suami Mona dalam sebuah majlis tertutup yang dihadiri ahli keluarga dan rakan artis pada 7 Disember 2018.

Perkahwinan pasangan ini agak mengejutkan kerana tiada laporan mengatakan mereka bercinta sebelum ini.



Mona teringin berbulan madu di Santorini.

Dalam pada itu, Mona dan suaminya masih belum ada kesempatan untuk meluangkan masa bercuti dan berbulan madu kerana kesibukan masing-masing.

Bagaimanapun, Mona memberitahu kemungkinan mereka akan berbulan madu di Santorini, Greece selepas sambutan hari raya Aidilfitri.

"Sebenarnya saya dan Pekin belum ada masa lagi nak bercuti sama dan berbulan madu. Masing-masing sibuk. Saya pun dah terikat dengan kerja lakonan.

"Kena beri sepenuhnya komitmen sebab tawaran itu datang sebelum berkahwin. Insya-Allah mungkin selepas hari raya nanti akan pergi berbulan madu.

"Kemungkinan kami akan ke Santorini, Greece. Sebab itu antara destinasi impian saya," ujarnya.

Mona dan Pekin hanya mengadakan majlis pernikahan dan resepsi di sebelah pihak lelaki di Kelantan pada 19 Januari lalu.

Post a Comment

Previous Post Next Post