Linda menafikan dia sudah berkahwin.
Enggan lagi dikaitkan dengan dakwaan berkahwin senyap-senyap, bekas peserta Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Linda Nanuwil tampil menegaskan dirinya masih bujang.
Linda atau nama sebenarnya Norlinda Nanuwil, 35, berkata, walaupun hampir 15 tahun menyepi daripada industri, tohmahan berkenaan masih kerap ditanya dalam kalangan peminat dan pengikutnya di laman sosial.
Menurut penyanyi yang popular menerusi lagu Jika Kau Kekasih itu, dia mahu bersih daripada sebarang kontroversi agar rencana seninya sepanjang tahun ini tidak lagi berkisar teka-teki status dirinya.
"Saya pelik sejak dari dulu sehingga kini, saya selalu dikatakan telah berkahwin. Saya masih bujang dan tidak pernah berkahwin dengan sesiapa seperti dakwaan umum di luar sana.
"Sebenarnya, telah beberapa kali saya keluar dengan kenyataan ini. Namun saya perlu ulangi kenyataan supaya tidak lagi menjadi persoalan dalam kalangan netizen," katanya di sini hari ini.
Linda merupakan naib juara rancangan realiti terbitan Astro itu dikaitkan mempunyai hubungan dengan individu yang juga ahli politik di Sabah selepas mengundurkan diri daripada industri.
Mengulas mengenai dakwaan tersebut , Linda berkata, dia tidak pernah mengenali ahli politik terbabit secara peribadi.
"Saya tidak pernah berjumpa atau keluar dengan sesiapa pun yang bergelar ahli politik," tegasnya.
Berkongsi lebih lanjut mengenai kisah peribadinya, Linda mengaku sedang mengenal hati budi seseorang tetapi belum bersedia mendirikan rumah tangga.
Dalam pada itu, Linda akan membuat kemunculan semula di sebuah konsert bersama 12 bekas pelajar AF2 pada Ogos depan.
Linda (tiga dari kiri) bersama berapa bekas pelajar AF2 pada sidang akhbar pengumuman konsert bekas pelajar AF2 di Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh FARID JANUDIN
Konsert yang bakal diadakan di ibu kota atau sekitar Lembah Klang itu masih dalam proses mencari penaja.
Antara yang bekas pelajar AF2 yang akan membuat persembahan ialah Bob, Zahid, Adam, Fitri dan Anding.