Janna Nick Cerita dia sudah habis




Berkongsi sekeping foto mencolok mata menampakkan dirinya sedang melakukan aktiviti ekstrem memanjat tembok atau wall climbing, ruangan komen gambar berkenaan dalam Instagram pelakon Janna Nick dihujani lambakan ulasan nakal daripada peminat terutama daripada kalangan lelaki.

Menyifatkan komen-komen tersebut kebanyakan datang daripada lelaki mata keranjang, Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner, 23, malas memikirkan kritikan terhadap foto yang dikongsikannya.

Sementara itu, dia turut disuakan pertanyaan tentang kenyataan penerbit drama Leftenan Zana, Sheila Rusly yang mengatakan bahawa tiada sambungan untuk drama terbabit walaupun mencatat jumlah penonton 25.5 juta, Janna yang baru-baru ini dilantik sebagai duta produk kecantikan, NH Colla Plus 3 tidak mahu mengulas lanjut.

Katanya, dia merencanakan sesuatu yang lebih besar tentang sayap kedua karier seninya, iaitu nyanyian.

Apa komen Janna apabila foto anda sedang melakukan aktiviti memanjat tembok dihujani banyak komen nakal?

Janna Nick: Industri hiburan sekarang seperti ketandusan kontroversi sampaikan perkara kecil seperti itu pun memberikan impak yang besar. Bagi saya, foto itu tiada apa-apa pun, cuma disebabkan ramainya golongan lelaki pervert atau mata keranjang di luar sana, sensasi sebegitu boleh timbul.

Maksudnya, adakah anda menjangkakan foto berkenaan akan mencetuskan kontroversi dalam kalangan netizen?

Sebagai orang yang tidaklah terlalu baharu dalam industri, hal-hal sebegitu memang sudah masak dalam fikiran. Saya tahu isu itu tidak lebih daripada sekadar kontroversi. Bagi saya, apa kritikan atau komen nakal itu ringan-ringan sahaja. Ramai lelaki mata keranjang di luar sana. Saya malas ingin memikirkan tentang mereka.

Maaf bertanya, sebagai bintang utama drama rantaian Leftenan Zana, apa pendapat anda apabila drama tersebut tidak bersambung ke musim kedua walaupun meraih jumlah penonton yang tinggi?

Cerita dia (Sheila Rusly) sudah habis. Saya tidak mahu jawab apa-apa yang melibatkan dia dalam hal saya.

Baiklah, apa perkembangan seni terbaharu anda selepas ini?

Saya sudah memulakan penggambaran untuk slot Samarinda TV3 bersempena Ramadan nanti. Judul drama berkenaan adalah Cari Aku Di Syurga arahan Shahrulezad Mohameddin. Saya akan berlakon di samping Aeril Zafrel dan Mimi Lana. Saya tidak sabar kerana garapan seperti ini memang sudah lama diimpikan terutama bekerja dengan Shahrulezad yang sebelum ini mengarahkan drama Nur.

Adakah anda mengharapkan drama berkenaan mencipta fenomena dan kejayaan seperti Nur?

Tidak mengharap tetapi sebagai pelakon, saya selalu ingin bekerja dengan orang yang mementingkan kualiti bukan populariti. Peluang bekerja dengan Shahrulezad akan digunakan sepenuhnya untuk menambahkan ilmu lakonan. Dia seorang pengarah yang bagus dan saya ingin menimba ilmu daripadanya.

Bagaimana pula dengan perkembangan karier nyanyian anda, sudah ada material terbaharu?

Buat masa, sekarang tiada lagu baharu. Bagaimanapun, mungkin saya akan rakam lagu baharu sebelum hujung tahun ini. Apa yang boleh saya janjikan adalah kejutan dari segi perubahan genre.

Boleh kongsikan sedikit peranan anda sebagai duta NH Colla Plus 3?

Saya guna produk ini sejak lapan bulan yang lalu. Untuk saya, kesannya boleh dirasa dalam tempoh tiga hari. Kulit saya menjadi lebih licin, bersih dan gebu. Sebagai pelakon yang selalu menjalani penggambaran di bawah terik matahari, produk ini memastikan kulit wajah saya tidak lesu. Dari segi kesihatan, produk ini membantu saya untuk menjalani aktiviti harian dengan lebih bertenaga.

Post a Comment

Previous Post Next Post