Timbul sedikit perasaan kesal dan kecewa dalam diri pelakon Izzue Islam sejak kebelakangan ini.
Ia berpunca daripada seorang individu yang telah dianggap sebagai sahabat yang sanggup menganiaya Izzue dengan menangguhkan proses pembayaran beberapa pekerjaan yang ditawarkan kepadanya tiga tahun lalu.
Ketika bertemu Izzue di Ibu Pejabat Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini, pelakon filem XX Ray 3 itu menjelaskan, individu terbabit yang juga merupakan ejen untuk beberapa kempen digital seperti mahu melarikan diri dan sukar untuk dihubungi.
Meskipun telah beberapa kali meminta supaya bayaran dijelaskan, tetapi, ada sahaja alasan yang diberi oleh ejen itu termasuklah masih belum menerima wang daripada pengusaha projek kempen berkenaan.
Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam, 29, mahu isu hutang tersebut diselesaikan dengan cara yang baik. Namun, jika individu berkenan masih berdegil dan enggan menyelesaikan hutang berkenaan, Izzue berhasrat untuk membuat laporan polis.
Izzue, boleh ceritakan dengan lebih lanjut mengenai khabarnya ada pihak yang masih berhutang dengan anda?
IZZUE: Sebenarnya, masalah ini sudah bermula sejak 2016. Ketika itu, saya menerima tawaran daripada individu terbabit untuk mempromosikan beberapa jenama dalam media sosial. Dia merupakan orang tengah yang mengambil projek daripada jenama-jenama besar. Bagi setiap promosi digital yang dijalankan, saya dijanjikan sejumlah wang. Namun, sehingga ke hari ini, saya masih belum menerima bayaran seperti yang dijanjikan itu.
Bagaimanakah anda boleh mempercayai individu tersebut walaupun anda tidak terlebih dahulu menerima bayaran?
Sebelum ini, dia ada membuat pembayaran untuk kempen-kempen lain. Cuma, bayaran untuk baki tiga kempen masih belum dilunaskan. Saya faham, bayaran biasanya akan diterima dalam tempoh selewat-lewatnya tiga bulan. Namun selepas tiga tahun berlalu dan bayaran masih belum diterima, saya mula mengesyaki sesuatu.
Adakah anda pernah cuba menghubungi individu terbabit?
Banyak kali saya dan isteri (Awin Nurin) cuba meminta bayaran yang tertunggak, tetapi hampa. Pejabatnya juga sudah tidak wujud. Kali terakhir Awin menghubunginya adalah pada 15 Disember lalu. Namun, dia meminta peguam saya menghubungi peguamnya.
Pernahkah anda membincangkan perkara ini dengan rakan-rakan artis yang lain?
Saya pernah bercakap tentang perkara ini dengan rakan-rakan artis. Rupa-rupanya, ada beberapa selebriti yang menerima tawaran menjayakan kempen media sosial daripadanya juga masih belum menerima bayaran.
Berapakah jumlah wang yang masih belum dibayar kepada anda?
Sekitar puluhan ribu ringgit. Saya sebenarnya tidaklah terlalu memandang wang. Saya sedikit terkilan kerana dia baik dengan saya. Kenapa dia perlu lari jika isu ini boleh diselesaikan dengan baik? Saya boleh bertolak ansur dengannya asalkan dia memunculkan diri dan berbincang. Jika tidak, saya terpaksa ambil tindakan undang-undang.
Boleh kongsikan tentang pemilihan anda dan pelakon Janna Nick sebagai duta anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2019 (DFKL2019). Sebagai duta, saya berasa sangat teruja untuk melibatkan diri sepanjang jelajah DFKL2019 di beberapa lokasi di Lembah Klang. Bagi lokasi terakhir, saya dan Janna akan bertemu peminat di pusat beli-belah IOI City Mall, Putrajaya pada 16 dan 17 Mac ini.