Fakhrul Razi Ada sesuatu belum selesai




Walaupun nama Fakhrul Razi, 38, lebih diperkatakan di negara sendiri dan Indonesia pada masa ini berbanding di Malaysia, dia tidak pernah terasa hati.

Sebaliknya, dia beranggapan ini cara untuk dia bereksplorasi berkali-kali di mana-mana saja negara yang menawarkan peluang buatnya.

“Pada masa ini, saya banyak berulang-alik antara Brunei dan Jakarta, sesekali ada kerja di Singapura atau Kuala Lumpur.

“Di mana ada peluang kerjaya, di situ saya akan pergi, contohnya minggu lalu saya berada di Singapura untuk jayakan persembahan,” katanya.

Fakhrul yang pernah popular dengan lagu Salahkan ciptaan Adnan Abu Hassan pada 2014 baharu saja melancarkan single terkini ciptaan sendiri berjudul Puja untuk pasaran Indonesia dan Brunei.

Katanya, dia menanti masa sesuai untuk melancarkan single itu di Malaysia.

Apatah lagi sejak mengurus sendiri kerjaya seninya sejak beberapa tahun lalu, dia mahu terus mencari peluang untuk berkreatif.

“Kalau melihat peluang di Indonesia dan Brunei, saya percaya lebih kurang sama saja, tapi saya berasakan masih ada sesuatu yang belum selesai di Malaysia.

“Saya mahu lakukan sesuatu untuk melunaskannya dan akhirnya Les’ Copaque memberikan ‘kunci’ untuk membuka ‘pintu’ itu melalui filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal,” katanya.



Dalam filem animasi itu, Fakhrul meminjamkan suara untuk watak Nakhoda Ragam yang berperwatakan ‘nakal’.

Dia berpendirian menjadi anak seni bukan mengenai meraih populariti sebaliknya lebih kepada apakah peluang seterusnya yang boleh diraih selepas ini.

Berdasarkan pendirian itu, tidak hairanlah dia berjaya mencuri tumpuan peminat apabila menyertai pertandingan realiti Dil Hai Hindustani di India.

Selain itu, dia juga dilantik sebagai juri pertandingan penyanyi dangdut D Academy Asia di Jakarta tahun lalu.

Beberapa tahun lalu, Fakhrul pernah dilaporkan bercinta dengan bekas pengacara D’Academy Asia, Rina Nose.

Namun sejak lebih setahun lalu, mereka akhirnya mengambil keputusan berpisah secara baik.

“Saya sudah lama tidak ‘berteman’, bekas kekasih pun sudah bertunang dengan orang lain. Bagaimanapun, kami masih berkawan kerana berpisah secara baik.



“Kami berpisah atas persefahaman sendiri, cuma media negara sebenar yang banyak bermain sentimen tertentu seolah-olah kami berpisah cara tidak baik,” katanya.

Katanya andai mereka berpisah dengan cara tidak baik pasti timbul isu lain yang tidak sedap didengar.

Fakhrul mendakwa ramai yang tidak berpuas hati mereka berpisah dengan cara baik.

“Jika ada suara negatif dan spekulasi mengenai hubungan kami sebelum ini, ia bukan dari mulut kami.

“Biasalah, orang akan selalu bercakap dan hubungan saya dengan bekas kekasih serta tunangnya sangat baik,” katanya.

Biarpun usianya hampir mencecah 40 tahun, penyanyi ini tidak serik bercinta dan mahu menunggu saat sesuai untuk kembali menjalin hubungan.

Secara berseloroh, dia tidak menolak jodohnya mungkin dari Indonesia, Brunei, Malaysia atau India.

Post a Comment

Previous Post Next Post