Aktres Rozita Che Wan nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas pemandu peribadinya selepas lelaki itu gagal tampil membuat permohonan maaf seperti dituntutnya dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan pada Jumaat lepas.
Dalam sidang akhbar tersebut, Rozita atau mesra disapa Che Ta, 46, memberi tempoh sehingga pukul 6 petang hari yang sama kepada Muhammad Riduan Mohamad Mizol untuk membuat permohonan maaf berikutan tindakannya menabur fitnah berkaitan isu pembayaran gaji yang ditimbulkan dalam laman sosialnya sejak dua minggu lalu.
Sebelum ini, pelakon drama Kiah Pekasam itu sudah menghantar notis tuntutan bertarikh 11 Mac kepada Muhammad Riduan, 21, yang mengandungi beberapa tuntutan antaranya, meminta lelaki itu menghentikan perbuatan fitnah dan memadam sebarang gambar atau kenyataan berunsur fitnah.
Dalam tempoh 48 jam selepas notis itu diberi, Muhammad Riduan diminta membuat jaminan dan aku janji bertulis bahawa tidak akan mengulangi penerbitan atau kenyataan fitnah yang serupa, selain membuat permohonan maaf dalam laman sosial.
Muhammad Riduan juga diminta hadir ke sidang akhbar berkenaan untuk membuat permohonan maaf secara terbuka. Malangnya dia gagal memunculkan diri.
Jelas Che Ta, pihaknya memberi peluang terakhir kepada Muhammad Riduan untuk tampil membuat permohonan maaf kerana mahu isu tersebut diselesaikan dengan cara baik.
KOSMO!: Boleh Che Ta jelaskan tentang sidang akhbar yang diadakan pada hari ini?
ROZITA CHE WAN: Tujuan saya adalah untuk menuntut permohonan maaf daripada Muhammad Riduan atas tindakannya yang telah menabur fitnah terhadap saya. Tindakannya telah menjatuhkan reputasi saya pada mata masyarakat dengan mendakwa saya seorang majikan yang sengaja tidak mahu membayar gajinya serta berniat menganiaya dirinya. Saya amat kesal dengan segala tuduhan tidak berasas berkenaan dan telah menghantar notis tuntutan bertarikh 11 Mac lalu kepadanya.
Boleh jelaskan dengan lebih lanjut tentang notis tersebut?
Dalam notis tersebut, ada beberapa tuntutan yang perlu dilakukan Muhammad Riduan antaranya dia perlu menghentikan perbuatan fitnah yang dilakukannya dan memadam sebarang gambar atau kenyataan berunsur fitnah.
Dalam tempoh 48 jam selepas notis itu diberi juga, dia diminta membuat jaminan dan aku janji bertulis bahawa tidak akan mengulangi penerbitan atau kenyataan fitnah yang serupa, selain membuat permohonan maaf dalam laman sosial.
Dia juga diminta hadir ke sidang akhbar untuk membuat permohonan maaf secara terbuka, tetapi saya langsung tidak menerima sebarang maklum balas daripadanya.
Cubaan untuk menghubunginya juga gagal. Peguam yang mewakilinya ada memaklumkan akan menghubungi kami, tetapi sehingga ke hari ini langsung tiada apa-apa berlaku. Jadi, majlis sidang akhbar ini adalah peluang terakhir yang diberi kepadanya untuk membuat permohonan maaf sebelum pukul 6 petang (Jumaat).
Saya sangat mengharapkan dia datang dan dapat menyelesaikan isu ini dengan baik.
Memandangkan dia gagal membuat permohonan maaf seperti dituntut, apakah tindakan lanjut daripada anda?
Saya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya. Negara kita ada banyak jenis undang-undang tetapi saya dan peguam dari CSQ Law Advocates & Solicitors sudah berbincang untuk membuat tuntutan sivil. Tuntutan tersebut akan dilakukan pada hari Isnin depan.
Selain membuat tuntutan terhadap Muhammad Riduan, mungkin ada sebab lain anda mengadakan sidang akhbar ini?
Tujuan saya cuma untuk memberi pengajaran bukan sahaja kepada dia, tetapi juga masyarakat supaya jangan menyalahgunakan media sosial dengan menabur fitnah sehingga memalukan dan menjatuhkan reputasi orang lain. Jika anda sudah melakukan kesalahan, beranilah tampil ke hadapan dan mengaku salah. Saya juga berharap pengguna media sosial menghentikan budaya menularkan keburukan orang lain kerana perbuatan sebegitu satu tindakan yang tidak bermoral.
Apakah impak kejadian ini terhadap anda?
Saya akui berasa kecewa, sedih, tertekan dan malu apabila membaca komen netizen dalam laman sosial yang kebanyakannya mencaci saya, sedangkan mereka tidak tahu kebenaran. Kontroversi ini adalah yang paling teruk pernah terjadi kepada saya. Bukan sahaja menjejaskan nama dan reputasi, malah turut memberi impak pada perniagaan yang diusahakan. Dia perlu ingat, tindakan yang dilakukannya ini bukan sahaja memberi kesan terhadap saya seorang, tetapi juga kepada pekerja lain.