Mona Allen simpan rapi hal peribadi




Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba dunia hiburan dikejutkan dengan penularan beberapa keping gambar dan poster perkahwinan pengarah dan pelakon Pekin Ibrahim dengan aktres Mona Allen pada 7 Disember tahun lalu.

Ironinya, sebelum perkahwinan itu tersebar kepada umum, terdapat khabar angin berkenaan hubungan mereka, bagaimanapun masing-masing memilih untuk mengunci mulut dan tidak pernah memberi sebarang kenyataan rasmi.

Justeru, apabila mereka diijabkabulkan tanpa sebarang ‘tanda’ atau pengumuman rasmi sepertimana yang dilakukan oleh kebanyakan artis lain, perkahwinan tersebut mengundang banyak persoalan dan menjadi buah mulut khalayak.

Kesempatan bertemu dengan Mona Allen pada sesi uji bakat Siri Jelajah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019 baru-baru ini, digunakan sebaiknya untuk merungkai keputusannya dan Pekin berkahwin secara sembunyi dan mengejut.

Menafikan majlis perkahwinannya diadakan secara mengejut apatah lagi ingin disorok daripada orang ramai dan pihak media, pelakon drama Monalisa itu bagaimanapun menjelaskan tindakannya.

“Kami bukan berkahwin secara mengejut, sebaliknya cuma tidak mengumumkan kepada orang ramai, apatah lagi mahu sorok. Sebab itu, orang nampak seolah-olah kami berkahwin senyap-senyap.

“Saya dan Pekin jenis orang yang ringkas. Jadi, kami memang merancang untuk mengadakan majlis secara tertutup dan dihadiri kaum keluarga serta rakan-rakan terdekat sahaja.

“Namun, apabila majlis perkahwinan tersebut dihidu peminat dalam laman sosial, kami pun okey sahaja. Tambahan pula, keluarga kedua-dua belah pihak mahukan majlis berjalan dengan sederhana,” jelas Mona.

Tidak seperti pasangan artis lain yang melangsungkan majlis perkahwinan serba mewah dan beberapa kali sehingga berderet-deret, Mona, 34, dan Pekin, 37, hanya diraikan dalam majlis pernikahan dan sebuah majlis makan sebelah pihak lelaki yang diadakan secara kecil-kecilan.

Impian

Sebagai wanita ditambah dengan statusnya sebagai artis, bohonglah jika Mona tidak menyimpan impian untuk mengadakan majlis resepsi serba mewah dan gah.

“Semua orang teringin mengadakan majlis resepsi, begitu juga saya. Cuma saya perlu akur dengan permintaan keluarga yang tidak mahu mengadakan majlis secara besar-besaran. Saya okey sahaja, asalkan semuanya sudah selamat.

“Selepas akad nikah, kami mengadakan majlis makan bagi pihak pengantin lelaki, tetapi diadakan secara kecil-kecilan sahaja. Bukannya tidak mahu mengadakan majlis lain, tetapi disebabkan kami berdua sangat sibuk, terpaksalah dilupakan sahaja niat tersebut,” katanya.

Di sebalik kejutan perkahwinan mereka, ramai yang tidak mengetahui tentang hubungan Mona dan Pekin yang sebenarnya sudah menjalin cinta selama dua tahun sebelum berumah tangga.

Mengimbas sedikit tentang episod perkenalan mereka, pemilik nama sebenar Munna Hafiraneza Allen itu berkata, dia telah lama mengenali Pekin iaitu sejak mula bekerja sebagai model.

Bagaimanapun, hubungan tersebut tidak lebih daripada sekadar kawan sebelum mereka kembali bertemu dua tahun lalu di set penggambaran sebuah drama. Pertemuan tersebut telah memutikkan perasaan cinta antara mereka.

Akui Mona, sebagai pasangan kekasih ketika itu mereka mengambil pendekatan untuk tidak terlalu terbuka soal hubungan cinta atas pengalaman lalu yang mengajar mereka untuk lebih berhati-hati.

“Sebenarnya saya dan Pekin tidak pernah berniat mahu sorok apa-apa daripada sesiapa. Cuma kami mengambil pendekatan untuk tidak terlalu terbuka berkongsi mengenai hubungan dan kehidupan peribadi.

“Pengalaman lepas memberi pengajaran untuk diambil sebagai teladan. Namun, kami tiada masalah jika ditemui bersama oleh peminat, tetapi sebarang kenyataan tidak akan datang dari mulut kami sendiri,” ujarnya yang mengakui tertarik dengan sikap rendah diri dan penyayang Pekin.

Kini biarpun sudah bergelar suami isteri, pelakon itu tetap berpegang kepada prinsip sama untuk tidak terlalu terbuka berkongsi hal peribadinya kepada umum.

“Sikit-sikit bolehlah, tetapi untuk lebih daripada itu tidak. Sebab, saya dan Pekin jenis orang yang gemarkan privasi. Tidak semua perlu dan boleh dikongsi kepada orang lain,” katanya ringkas.

Bekerjasama

Kesibukan kerja dan tawaran lakonan yang datang bersilih ganti membataskan waktu untuk Mona menikmati keindahan alam perkahwinan seperti pasangan pengantin baharu lain. Hal ini kerana, dia terikat dengan penggambaran drama sehingga bulan Mei depan.

Atas tuntutan kerja juga membuatkan mereka tidak sempat untuk berbulan madu sejurus majlis perkahwinan selesai. Dalam perancangan, pasangan itu akan ke Santorini, Greece selepas sambutan Aidilfitri nanti.

“Masing-masing sedang sibuk dengan kerja. Pekin baru sahaja selesai menjalani penggambaran sebuah telefilem dan sekarang sedang merancang beberapa buah filem.

“Sementara jadual saya sendiri pun padat sehingga bulan Mei depan. Buat masa sekarang, saya sedang menjalani penggambaran drama Lara Syakila untuk terbitan RTM yang banyak dijalankan di Langkawi, Kedah,” ujarnya berkongsi perkembangan terkini.

Dalam pada itu, Mona tidak menolak andai pada masa depan dia dan suaminya disatukan dalam sebuah projek bersama. Teruja menantikan tawaran sebegitu, kata Mona sebagai pelakon dia amat mengagumi hasil kerja pengarah filem Mat Moto: Kami Mat Moto, Bukan Mat Rempit itu.

“Saya terbuka dan memang teringin untuk berlakon dengan Pekin. Insya-Allah, jika tiada aral mungkin saya akan bekerja di bawah arahannya untuk sebuah filem. Sekarang, dia sedang sibuk membikin filem kerjasama antara Malaysia dan Indonesia,” ujarnya seraya menutup perbualan.

Pelakon Mona Allen tidak pernah berniat untuk menyembunyikan majlis perkahwinannya dengan pengarah dan aktor Pekin Ibrahim yang berlangsung pada 7 Disember lalu, sebaliknya hanya menurut permintaan daripada pihak keluarga.

Post a Comment

Previous Post Next Post