Alif Satar idam anak lelaki




Penyanyi Alif Satar menyimpan hasrat untuk menimang cahaya mata lelaki bagi kelahiran anak ketiganya pada Oktober depan.

Alif berkata, isterinya, Shadila Halid yang kini hamil 12 minggu berada dalam keadaan baik namun mengalami alahan teruk berbanding dua anak sebelum ini.

"Ramai juga yang bertanya, mahu anak lelaki atau perempuan kali ini. Namun saya hanya mengharapkan anak yang bakal lahir nanti sempurna dan sihat.

"Bagaimanapun jauh dari sudut hati, saya mengimpikan anak lelaki.

“Isteri mengalami alahan yang agak teruk berbanding dua anak sebelum ini namun semuanya berada dalam keadaan terkawal," katanya ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan dirinya sebagai duta Harman Studio baru-baru ini.

Menurutnya, selepas kejayaan mengadakan persembahan di Sheffield, United Kingdom (UK) Februari lalu, dia sekali lagi mendapat jemputan namun terpaksa menolak kerana ketika itu isterinya sudah sarat.

"Sebenarnya, saya mendapat jemputan untuk kembali ke UK pada hujung September tahun ini namun terpaksa menolak kerana ketika itu isteri sedang sarat.

"Saya perlu berada di sampingnya kerana bimbang dia bersalin awal daripada tarikh yang dijangka. Insya-Allah, kalau ada rezeki saya akan datang ke sana lagi,” katanya.

Februari lalu, Alif mengadakan persembahan di hadapan sekitar 500 penonton, majoritinya pelajar yang menuntut di UK.

Alif dan isteri, Shadila berkahwin pada 15 September 2014 dan dikurniakan dua puteri bernama Alisha Anugerah, 4, dan Ariana Mecca, 2.

Post a Comment

Previous Post Next Post