Taufiq Hanafi cuba nasib dengan Warner Bros




Pelakon, Taufiq Hanafi, 29, mendedahkan baru saja mencuba nasib memohon satu jawatan penting di syarikat penerbitan antarabangsa, Warner Bros. bulan lalu.

“Mereka sudah menerima permohonan saya dan akan memberi jawapan dalam tempoh dua bulan.

“Sekiranya berjaya, saya menyimpan hasrat untuk berkhidmat di UK (United Kingdom) atau AS (Amerika Syarikat) kerana faktor bahasa,” katanya yang turut memaklumkan syarikat itu mempunyai cawangan di 15 negara.

Pelakon dikenali melalui filem Paskal dan Ola Bola itu ketika ditemui Harian Metro mengakui jawatan dipohon tidak memerlukan dia beraksi di depan kamera.

Bagaimanapun, Taufiq enggan mendedahkan kategori jawatan dipohon kerana beranggapan usaha dilakukannya adalah langkah kecil untuk ke peringkat lebih baik.

“Saya memohon pelbagai jenis kerja melalui pelbagai portal pencarian kerja, kalau ada rezeki, ada lah.

“Saya fikir sampai bila saja kerja sebagai pelakon jadi tidak salah mencuba bidang lain pula,” katanya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengajian Filem dan Video dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Post a Comment

Previous Post Next Post