Shiha mengakui ada orang kenamaan cuba mendekatinya.
Penyanyi Shiha Zikir mendedahkan ada orang kenamaan (VIP) mencuba mendekatinya biarpun sudah mengetahui dia mempunyai kekasih.
Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir, 32, berkata dia akan menolak pelawaan individu tersebut dengan cara baik.
"Sebenarnya ada juga golongan VIP nak cuba dekati saya. Sampai ada tu sanggup datang ke Indonesia jika saya ada dekat sana untuk keluar bersama.
Shiha beritahu Arul seorang yang memahami.
"Sedangkan mereka tahu saja saya ni ada kekasih. Tapi ada juga yang ingat saya sudah berpisah dengan teman lelaki sebab itu mencuba dekati.
"Tapi kalau ada yang ajak keluar, saya akan cuba tolak dengan baik. Ataupun saya akan kata, nak keluar boleh tapi mesti saya kena bawa ibu atau teman," katanya kepada mStar Online.
Shiha ditemui ketika pelancaran video karaoke lagu terbaharu penyanyi di bawah syarikat pengurusannya SZ Entertainment iaitu Kay Khydir, Bukan Bahagiaku di Red Box, The Garden Mall, Bangsar pada Isnin lalu.
Menurut penyanyi lagu Pipiyama ini, kekasihnya yang dikenali sebagai Arul seorang yang memahami dan tidak pernah cemburu dengan mana-mana lelaki yang cuba dekatinya.
"Nasib baik kekasih seorang yang sangat memahami. Dia tak kisah pun kalau ada lelaki yang cuba nak dekati saya.
Shiha masih sibuk dengan kerjaya nyanyiannya.
"Malah, ada juga lelaki yang berani cakap depan-depan kekasih suruh putus dengan saya sebab rasa diri dia lagi sesuai bersama saya.
"Tapi kekasih saya hanya gelak dan tidak ambil serius perkara itu. Nak dapat orang yang memahami itu susah dan saya bersyukur ada teman lelaki seperti dia," ujarnya.
Dalam pada itu, Shiha yang menjalinkan hubungan cinta dengan Arul hampir 10 tahun mengakui ada mempunyai perancangan untuk berkahwin namun akan dikongsi perkara itu sekiranya segala urusan sudah ditetapkan.
"Memang kami ada perancangan ke arah tu. Tapi itu sekadar perancangan sahaja. Saya tak nak jadi macam sebelum ini, kata nak kahwin hujung tahun tapi tak kahwin-kahwin pun.
"Insya-Allah kalau semuanya dah ditetapkan, saya akan berkongsi perkara itu. Buat masa sekarang ini, kami berdua masih sibuk dengan kerja masing-masing," katanya.