Ramai berpendapat bahawa permulaan hidup yang sempurna bagi seseorang selalunya bermula pada usia 30 tahun. Baik dari segi kestabilan hidup mahupun kelangsungan karier, usia tiga dekad sering dijadikan sebagai kayu pengukur untuk menilai kejayaan seseorang.
Begitu pun, perumpamaan sebegitu kurang sesuai untuk menggambarkan perjalanan karier seorang wanita bernama Neelofa. Baru menginjak usia 30 tahun pada 10 Februari lalu, pemilik nama lengkap Noor Neelofa Mohd. Noor itu dilihat seperti sudah memiliki segala-galanya.
Selain bisnes tudungnya, Naelofar Hijab mendapat sambutan menggalakkan, kerjaya seni sebagai pengacara dan pelakon sejak menjuarai Dewi Remaja 2009/2010 juga masih mekar dalam kalangan peminat.
Melihat kembali siri kejayaan dan pencapaian yang diraih, Neelofa menjelaskan, dia berasa sangat bersyukur dikurniakan pelbagai rezeki dan peluang pada usia yang sangat muda.
“Kebanyakan rakan dan ahli keluarga memberitahu bahawa kejayaan-kejayaan yang saya kecapi selalunya diraih oleh individu berusia 30-an dan ke atas.
“Namun, saya berasa sangat bertuah kerana rezeki yang saya peroleh selama ini datang lebih awal. Saya sedar, banyak yang telah saya capai, tetapi pencapaian tersebut bukanlah tiket untuk saya bersenang-lenang.
“Hal ini kerana, untuk mengekalkan sesuatu kejayaan lebih sukar berbanding mendapatkannya,” ujar Neelofa ketika ditemui usai siaran langsung program MeleTOP yang berlangsung di Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mengenai perancangan mendepani usia baharu, Neelofa hanya mengharapkan kesihatan yang baik dan mahu fokus terhadap kerja.
“Sebaik sahaja usia menginjak ke angka 30, pemikiran saya juga berubah secara total.
“Ketika ini, saya ingin lebih menitikberatkan soal kesihatan, mahu lebih cergas dan bekerja dengan lebih keras,” katanya sambil tersenyum.
Sempena dengan sambutan hari lahirnya yang ke-30, Neelofa terlebih dahulu meraikannya bersama peminat dan keluarga menerusi bengkel kerohanian, Light And Love Saturdate.
Menerusi bengkel yang dikelolakan bersama Imam Muda Asyraf itu, Neelofa mengajak peserta untuk sama-sama memperbaiki cara dan bacaan sewaktu mengerjakan solat.
Justifikasi
Biarpun bengkel tersebut disifatkan sebagai satu inisiatif yang baik, namun Neelofa tetap dikritik akibat berpenampilan lebih moden dengan menggayakan turban pada dua majlis sambutan hari jadi yang lain.
Mengulas mengenai isu berkenaan, Neelofa berkata, khalayak mampu mengkritik tanpa mengetahui perkara yang sebenar.
“Saya tidak mahu membuat sebarang justifikasi terhadap isu ini memandangkan khalayak hanya melihat gambar dan video yang dimuat naik di laman sosial sahaja.
“Apa yang berlaku pada majlis sebenar, hanya kami dan jemputan sahaja tahu. Niat saya hanyalah untuk meraikan majlis bersama rakan-rakan terdekat dan ahli keluarga. Paling penting, saya gembira dan disayangi,” tegas Neelofa.
Ketika sidang akhbar memperkenalkan calon-calon Anugerah MeleTOP yang berjalan secara langsung, wakil media diberi kesempatan untuk bertanyakan soalan secara langsung kepada selebriti jemputan.
Salah satu soalan daripada wakil media pada malam itu adalah berkenaan kewajaran seseorang artis untuk berkongsi masalah rumah tangga dalam media sosial sehingga menimbulkan spekulasi dalam kalangan peminat.
Neelofa secara sukarela menjawab pertanyaan tersebut dengan menyifatkan tindakan berkongsi masalah peribadi secara umum sebagai kurang matang.
Ditanya mengenai kewajaran jawapan sebegitu, Neelofa mengakui, sukar untuk berdiam diri saat dilanda amarah.
Namun, sesuai dengan status sebagai figura awam, seseorang artis itu seharusnya sabar dan cuba mencari jalan lain untuk menyelesaikan masalah.
“Jawapan itu hanyalah pesanan untuk sesiapa sahaja yang pernah melalui perkara sedemikian.
“Media sosial hanya memburukkan lagi keadaan. Masalah kecil boleh menjadi besar jika dikongsikan secara terus dalam platform seperti Instagram.
“Benar, saya sendiri susah untuk berdiam diri dan ingin meluahkan perasaan jika terlibat dengan sesuatu isu. Tetapi, kita cuba didik diri untuk berdiam dan cari jalan lain bagi menyelesaikan masalah,” katanya.
Sebagai seorang usahawan tudung yang sebelum ini pernah melalui proses penghijrahan, Neelofa juga diminta untuk memberi sedikit respons terhadap keputusan pelakon cantik, Emma Maembong yang mengambil keputusan untuk tidak lagi tampil bertudung.
Hijab
Sedia maklum situasi tersebut Neelofa bagaimana secara berhemah menolak daripada memberi komen.
“Kalau boleh saya tidak mahu memberikan sebarang komen. Saya cuma berharap kepada netizen supaya berpada-pada sewaktu meninggalkan komen.
“Apabila mereka yang membuka tudung ini dikecam, mereka akan memberontak dan akan melakukan perkara yang lebih teruk lagi,” ujar usahawan muda yang disenaraikan dalam 30 Under 30 Asia oleh Forbes itu ringkas.
Dalam perkembangan lain, Neelofa kini berada di Dubai bagi menjalani penggambaran kempen iklan Swarovski untuk Hari Raya Aidilfitri.
Selepas selesai menjalani penggambaran di sana, dia akan terbang ke London bagi menghadiri London Fashion Week.
“Selepas selesai menghadiri London Fashion Week, saya akan menghadiri Milan Fashion Week sebelum pulang semula ke Malaysia selama tiga hari.
“Kemudian, saya akan terbang ke Paris untuk menghadiri Paris Fashion Week pula,” tutup Neelofa.
Tiada yang luar biasa diimpikan sempena usianya yang kini menginjak ke angka 30. Cuma, Neelofa hanya berharap agar diberi kesihatan yang baik supaya dapat lebih fokus terhadap kariernya.