Pernah dilanda ujian yang sedikit sebanyak mencalarkan reputasinya sebagai artis berimej bersih penyanyi lagu kerohanian, Hafiz Hamidun berkata, pengalaman banyak mematangkan dirinya dalam membuat pilihan yang tepat.
Tidak mahu mengungkit episod lama, menurut Hafiz atau nama sebenarnya, Mohammad Hafiz Hamidun, 35, dia menyarankan selebriti yang berdepan ujian atau cabaran hidup tidak bertindak melulu dengan menjadikan media sosial sebagai alat untuk mempertahankan diri secara membuta tuli.
Katanya, lamban laun, kebenaran akan ditunjukkan sedangkan kenyataan yang dikeluarkan di media sosial kadang-kadang lebih membawa ke jalan keburukan kerana melibatkan ramai orang yang tidak tahu kisah sebenar.
Ditemui Kosmo! pada sidang akhbar Konsert Amal 4Nomena baru-baru ini, Pelantun lagu Jodoh berdua itu turut memberikan buah pandangan agar genre nasyid kembali diletakkan pada paras tertinggi seperti zaman kegemilangan pada era 1990-an.
Luah Hafiz, penyanyi nasyid zaman sekarang perlu bersikap realistik dalam mendepani onak duri industri seni tanah air yang sememangnya tidak memihak kepada mereka. Oleh itu, mekanisme baharu harus sentiasa dikemaskini bagi memastikan nasyid terus berkembang dan mampu bersaing.
Sebagai seorang artis yang pernah berdepan dengan cabaran besar hidup sebelum ini, apa yang boleh Hariz sarankan berkenaan penggunaan media sosial sebagai alat untuk mempertahankan diri bagi golongan selebriti?
Hafiz: Perlu diingat, lagi banyak yang kita cakap di media sosial, lagi orang nampak sama ada kejahilan atau kebijaksanaan kita. Dewasa ini, ramai yang gunakan media untuk buktikan mereka kaya, alim, tidak bersalah dan sebagainya. Bagi saya, apabila sesuatu kontroversi itu timbul, tidak perlu sentiasa menjawab kerana akhirnya, kebenaran akan terbongkar orang akan tahu ketulusan hati kita berdasarkan tindakan kita sendiri. Jangan salah guna media sosial, buruk padahnya nanti.
Adakah ketika anda berdepan ujian hidup sebelum ini pernah bertindak sedemikian (menggunakan media sosial untuk meluahkan perasaan)?
Saya pun pernah melalui satu fasa yang ‘besar’ dalam hidup. Saya pun hampir salah langkah. Tetapi kita cepat bertindak apabila diberi nasihat oleh kawan-kawan dan ramai pihak lain. Nasihat saya, jangan gunakan media sosial untuk pertahankan diri dan untuk betulkan sesuatu perkara. Kita semua bukan baik atau sempurna. Jangan cipta persepsi di media sosial tu semata-mata untuk bongkar segala-galanya yang sepatutnya harus disimpan dalam hati.
Baiklah, terlanjur bercakap soal itu, sudahkan anda bersedia untuk sekali lagi berumah tangga sekali gus bergelar suami?
Buat masa sekarang, memang tiada masa. Tunggulah dahulu. Ramai yang mencuba untuk mengurat melalui Direct Message (DM) di Instagram dan sebagainya. Bagaimanapun, saya tidak percaya untuk bertemu jodoh melalui media sosial. Macam-macam orang ada di ruang media sosial jadi saya tidak mahu berkongsi hidup dengan orang yang salah. Lagipun, usia saya sekarang sudah 35 tahun. Kalau sudah sampai masa, saya tidak akan tolak. Tapi tiadalah sampai tahap terdesak untuk berkahwin lagi. Buat masa sekarang, bak kata orang putih saya ‘go with the flow’ sahaja.
Ulas sedikit tentang harga tiket Konsert Amal 4nomena yang terlalu murah seperti merendahkan martabat atau kredibiliti penyanyi nasyid?
Itu semua di luar bidang kuasa saya. Saya sebagai artis nasyid pernah buat konsert besar-besaran namun tiket harga beratus-ratus ringgit dan Alhamdulillah, konsert laku. Mungkin ini strategi pihak penganjur dan lagipun, konsert ini merupakan persembahan amal. Apa yang boleh saya janjikan walaupun harga tiket murah, itu tidak meletakkan kualiti persembahan kami pada tahap rendah. Kami tetap akan menyanyi bersungguh-sungguh demi peminat.
Anda mempunyai pengaruh yang kuat dalam genre nasyid, tidakkah anda merasakan sesuatu perlu dilakukan untuk mengembalikan kegemilangan nasyid yang semakin memudar dari tahun ke tahun?
Itu yang saya fikir nak cari protege. Apabila makin lama makin berusia, memang kena mulakan langkah untuk membina produk atau legasi sendiri. Tetapi, mengikut cara dan acuan saya sendiri. Tidak mesti saya di bawah Hijjaz, harus kedengaran macam diorang. Masih boleh jumpa, bekerjasama dan tiada masalah untuk saya buat apa yang saya mah. Saya sendiri suka cari jalan lain. Saya mahukan halwa telinga yang baharu terutama pada zaman sekarang bersaing dengan ramai penyanyi dan banyak genre.
Atau anda sendiri merasakan kegemilangan nasyid sudah tidak mampu dikembalikan walaupun dengan pelbagai usaha seperti program Gema Gegar Vaganza?
Nasyid ada peminat yang tersendiri. Misalnya dahulu Raihan dikenali ramai kerana jualan album cukup hebat. Sekarang bukan zaman jual album, orang lebih suka keluar single. Bagaimanapun, kalau kita tengok secara global atau Nusantara, Sabyan Gambus hari ini buat lagi, esok lusa sudah 10 juta tontonan di YouTube. Maksud saya, ada strategi yang berkesan cuma perlu diterokai dengan menyeluruh. Jangan pernah mengalah untuk memperjuangkan muzik nasyid.