Shuib tidak akan tinggalkan Sepahtu




Pucuk dicita, ulam mendatang, demikian peribahasa tepat menggambarkan perasaan Shuib ketika kali pertama mendapat panggilan dilamar untuk menjadi sebahagian daripada keluarga penyampai Hot FM.

Hampir setahun merehatkan diri selepas membuat keputusan mengejut meninggalkan Sepahtu Sinar di stesen radio Sinar FM kira-kira dua tahun lalu, Shuib sememangnya memasang impian untuk kembali berkhidmat di konti radio.

Tanpa berselindung mengakui terdapat beberapa stesen radio telah melamar dirinya sebelum ini, Shuib akhirnya memilih untuk berkhidmat bersama Hot FM.

Bertempat di Majlis Doa Selamat Kool FM dan Hot FM baru-baru ini, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad berkongsi pengalamannya bertugas sebagai penyampai Hot FM.

KOSMO!: Selepas setahun berehat daripada menjadi penyampai radio, adakah sukar bagi Shuib untuk mengendalikan segmen Geng Pagi Hot (GPH) di Hot FM itu?

SHUIB: Tidak sukar bagi saya untuk mengendalikan segmen pagi di Hot FM ini kerana saya telah mempunyai pengalaman selama tiga tahun bertugas sebagai penyampai radio.

Namun, saya perlu kembali mencari rentak dalam penyampaian dan mengenali para pendengar. Hot FM menyasarkan pendengar berusia antara 15 hingga 29 tahun, jadi saya perlu menjadi muda ketika berada di dalam konti.

Selepas hampir seminggu sebagai penyampai Hot FM, saya yakin boleh memberikan yang terbaik. Bagaimanapun, secara peribadi, saya akan mengambil peluang ini untuk belajar dan memperbaiki diri.

Bagaimanakah keserasian anda bersama dua penyampai yang bergabung untuk GPH iaitu Syuk dan Fizie?

Ini bukan kali pertama saya bekerjasama dengan Syuk kerana kami dari latar belakang sama sebagai pelawak. Kami juga pernah bekerjasama sama di pentas, dalam filem dan rakaman program.

Tidak sukar bagi saya untuk mencari keserasian dengan dia. Dengan Fizi pula, kami pernah bertemu dan bertegur sapa antara satu sama lain. Saya selesa bekerjasama dengan mereka.

Anda menyertai GPH menggantikan tempat Ajak yang juga pelawak. Apakah respons anda sekiranya dibandingkan dengan penyampai terdahulu?

Jika saya dibandingkan dengan penyampai sebelum ini, itu adalah perkara biasa. Saya tidak akan terasa hati dengan Ajak kerana kami bersikap profesional.

Kami berada dalam industri bukan untuk bersaing antara satu sama lain tetapi mencari rezeki. Saya hanya boleh janji kepada para pendengar untuk melakukan yang terbaik sepanjang bertugas bersama Hot FM.

Adakah tawaran daripada Hot FM ini antara alasan anda meninggalkan Sepahtu Sinar kira-kira dua tahun lalu?

Tidak. Saya menerima tawaran Hot FM pada tahun ini. Saya akui terdapat radio lain yang turut mengajak saya menyertai mereka. Saya memilih Hot FM kerana ini radio impian saya.

Ketika berhenti dari Sinar FM, saya berhasrat untuk kembali ke konti sekiranya tawaran itu adalah daripada Hot FM. Tidak sangka impian itu terlaksana awal tahun ini.

Setelah bersama Hot FM di bawah Media Prima, bagaimanakah hubungan anda bersama Sepahtu dan projek bersama Astro yang menaungi Sinar FM?

Saya rasa sangat istimewa kerana berpeluang untuk berkhidmat di kedua-dua stesen penerbitan berpengaruh dalam negara. Saya akan terus bersama Sepahtu.

Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan ahli Sepahtu yang lain. Malah, pada hari pertama bertugas di konti Hot FM, Jep adalah orang yang pertama menghantar mesej dan memberikan pesanan kepada saya.

Hot FM adalah keluarga baharu saya, tetapi Sepahtu adalah jiwa saya. Saya tidak akan sesekali meninggalkan Sepahtu.

Adakah tugas sebagai penyampai tidak mengganggu perusahaan perniagaan madu anda?

Selepas setahun beroperasi, perniagaan madu saya semakin berkembang dan beroperasi tanpa pemantauan sepenuhnya daripada saya. Insya-Allah kerjaya sebagai penyampai radio tidak akan mengganggu prestasi perniagaan.

Post a Comment

Previous Post Next Post