Liyana Jasmay tepis skeptikal, Juliana Evans mahu anak




Hubungan persahabatan lebih 10 tahun antara dua rakan karib iaitu Liyana Jasmay dan Che Puan Juliana Evans akhirnya dicernakan menerusi penerbitan filem berjudul 'Bella & Jamie' yang mula ditayangkan di pawagam bermula hari ini, 31 Januari.

Ironi, filem terbitan Mermaid Studios Sdn. Bhd. itu telah ‘diperam’ selama lebih tiga tahun kerana beberapa hal yang tidak dapat dielakkan. Kata Liyana Jasmay yang mesra disapa Nana itu, perkara yang menjadi penghalang filem adalah berkenaan bajet dan pengalaman.

“Filem ini menjalani penggambaran pada akhir tahun 2015. Saya memang tiada pengalaman untuk menerbitkan filem, jadi banyak mendapat bantuan dan tunjuk ajar daripada senior-senior seperti Afdlin Shauki dan Ahmad Idham.

“Sampai ke proses pasca produksi tidak cukup dana pula. Saya bernasib baik kerana mendapat bantuan daripada Razlam Shah Rashid yang mempunyai syarikat pasca produksi sendiri.

“Selepas itu, timbul pula satu lagi masalah iaitu mencari pengedar untuk mengedarkan filem ini di panggung. Alhamdulillah, walaupun agak lama selepas menjalani penggambaran, filem Bella & Jamie akhirnya menemui peminat,” kata Liyana.

Cabaran

Bercerita tentang inspirasi untuk melahirkan filem tersebut, pelakon filem Papadom terus menyebut judul sitkom televisyen dan filem popular Hollywood, Lizzie McGuire.

“Sebab itulah ada sikit elemen kartun dalam filem ini. Saya memang peminat filem Lizzie McGuire, jadi tidak dinafikan filem ini mendapat inspirasi daripada filem itu.

“Dalam pada itu, saya ingin menarik perhatian golongan remaja. Jadi, pendekatan atau tema yang digunakan dalam filem ini juga bersifat remaja,” dedah Liyana.

Mengulas tentang bajet pembikinan, dia tanpa berselindung mendedahkan filem yang ditayangkan di 41 buah pawagam seluruh negara itu hanya menelan kos sebanyak RM600,000.

“Saya tidak tipu, kos keseluruhan filem ini hanya RM600,000. Berdasarkan bajet sebanyak itu, ini filem yang boleh saya hidangkan kepada penonton. Kalau ada lebih, mungkin saya boleh bagi lebih.

“Penonton tidak bodoh dan saya tidak akan menipu. Macam filem Insidious bajetnya hanya AS$1 juta (RM4 juta) tetapi kutipan pecah panggung hampir AS$100 juta,” getus pemilik bersama syarikat Mermaid Studios itu di samping kakaknya, Adriana.

Tudung

Menjawab persoalan imejnya yang tidak bertudung dalam filem berkenaan, Liyana yakin penonton mampu membezakan bahawa filem Bella & Jamie adalah karya yang menjalani penggambaran tiga tahun lalu. Pada waktu tersebut, dia belum lagi bertudung.

“Saya yakin penonton akan faham filem ini adalah karya yang menjalani penggambaran tiga tahun lalu. Kalau tidak percaya boleh tengok Instagram saya (ketawa),” jawabnya ringkas.

Mengulas lanjut tentang imej terkininya yang barangkali menjadi penghalang untuk terus berkecimpung dalam bidang lakonan atau perfileman, Liyana menangkis pendapat sebegitu.

“Tudung bukan penghalang. Untuk saya, rezeki semakin terbuka selepas berhijab bahkan segala urusan kehidupan saya dipermudahkan.

“Saya bangga dengan imej saya sekarang. Tiada alasan untuk saya takut terus berkecimpung dalam bidang lakonan hanya kerana sudah bertudung,” katanya yang mengakui masih akrab dengan rakannya, Juliana walaupun sibuk dengan urusan kehidupan masing-masing.

Tidak mahu terlalu memperincikan perkembangan seninya ketika ini, Liyana berkata, dia bakal membikin sebuah filem yang akan memulakan penggambaran sekitar awal tahun 2020.

“Saya akan mengarah buat kali pertama dan banyak pelakon wanita hebat tempatan terlibat dalam filem itu nanti. Tunggu sahaja, saya tidak mahu bercerita terlalu lanjut,” ujar Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-22 itu optimis.

Kongsi

Sementara itu, Juliana yang memainkan peranan sebagai Bella meluahkan keterujaannya saat bekerjasama dengan rakan baik sendiri dalam filem tersebut.

“Biarpun filem ini sudah selesai menjalani penggambaran tiga tahun lalu, saya masih ingat pengalaman sepanjang di lokasi. Bekerja dengan Liyana memang menyeronokkan. Dia sangat kelakar dan personalitinya membuatkan suasana bekerja tidak terasa penat.

“Kerja dengan teman baik memang seronok kerana dia tahu apa yang dimahukan sebagai seorang penerbit,” kata isteri kepada Tengku Shariffuddin Shah itu.

Tambah Juliana, walaupun sekarang masing-masing sibuk dengan kehidupan sendiri, hubungannya dengan ibu kepada dua orang cahaya mata itu tidak pernah renggang.

“Kami memang sudah ada kehidupan masing-masing namun apabila bertemu, rasa seperti dahulu. Bezanya, kami lebih matang mendepani permasalahan.

“Dia juga selalu berkongsi soal rumah tangga kepada saya termasuk hal anak-anak. Insya-Allah, saya juga sudah bersedia untuk menimang cahaya mata pada tahun ini. Saya serahkan rezeki kepada Allah,” ungkapnya.

Kurus

Menjawab pertanyaan tentang susuknya yang kelihatan mengalami penurunan berat badan ketara sejak akhir-akhir ini, Juliana menjelaskan, dia sememangnya menjaga pemakanan dan banyak melakukan aktiviti senaman.

“Berat saya sekarang 47 kilogram. Saya memang menjaga pemakanan dan selalu bersenam. Saya lebih suka memasak di rumah dan tidak suka makan di luar.

“Tambahan lagi, saya suka memasak untuk suami. Memasak pun kadang-kadang boleh jadi senaman buat kita kaum isteri (tertawa),” ujarnya.

Diusik persoalan adakah fizikalnya yang terlalu kurus disebabkan kurang bahagia dalam melayari bahtera perkahwinan, begini jawapan Juliana: “Tidaklah. Kalau tidak bahagia, saya akan gemuk (ketawa). Saya gembira menggalas peranan sebagai isteri. Alhamdulillah, rumah tangga saya dilimpahi kebahagiaan. Doakan saya hasrat untuk menimang cahaya mata diperkenankan Tuhan.”

Selain Juliana dan Liyana, Bella & Jamie yang turut dibintangi pelakon lain seperti Izzue Islam, Khir Rahman, Sharifah Nadia, Dynas Mokhtar dan Bell Ngasri.

Dua sahabat baik, Liyana Jasmay dan Che Puan Juliana Evans berbicara tentang filem terbaharu lakonan mereka, Bella & Jamie serta perihal hidup masing-masing yang kian memutik debunga kematangan.

Post a Comment

Previous Post Next Post