Bertemu dengan pelakon tinggi lampai, Datin Dynas Mokhtar, banyak perkongsian kehidupan dan kerjaya yang dibentangkan sebagai pengisi bicara.
Muncul melakonkan watak antagonis bernama Mastura dalam filem Bella & Jamie, Dynas atau nama lengkapnya, Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar berkata, 2019 menjadi tahun rezeki paling murah buat dirinya dalam bidang lakonan dan perniagaan.
Biarpun kini sarat hamil enam bulan hasil perkahwinannya dengan Datuk Mohamad Shazrik Che Mohd. Din, wanita berusia 35 tahun itu tetap aktif berlakon dan bakal memulakan perniagaan restoran, butik dan membekalkan pes masakan.
Berkahwin dengan ahli perniagaan itu tahun lalu, Dynas dijangka bersalin menjelang bulan Mei depan. Pelakon filem Impak Maksima sudah mempunyai dua orang cahaya mata, Khayra Khalyssa dan Mohamed Haqaish hasil perkahwinannya yang terdahulu.
Boleh kongsikan sedikit tentang peranan anda dalam Bella & Jamie?
DynaS Mokhtar: Seperti biasa, saya melakonkan watak antagonis bernama Mastura dalam filem ini. Watak Mastura penting, jika tanpanya tidak ada orang yang akan porak-peranda hubungan percintaan antara Badrul (lakonan Khir Rahman) dan Maryam (Sharifah Nadia).
Apa yang membuatkan filem Bella & Jamie perlu ditonton di pawagam?
Sudah lama rasanya tiada filem tempatan yang berkisar kehidupan remaja. Rasanya sekarang adalah waktu yang paling tepat kerana tema sebegini sangat jarang dipertontonkan. Lagi pun, filem ini membawa mesej yang bagus iaitu persahabatan. Saya sendiri mempunyai kawan yang dikenali sejak zaman belajar namun sudah lama tidak bertemu kerana masing-masing sibuk dengan kehidupan. Alhamdulillah, saya sempat membawa rakan yang saya sudah lama tidak bertemu itu untuk sama-sama menonton karya ini.
Terdapat babak memperlihatkan anda merokok dalam filem berkenaan, sedangkan sasaran audiens untuk Bella & Jamie adalah remaja. Tidakkah adegan sebegitu akan membawa pengaruh buruk kepada penonton?
Memang saya merokok dalam filem berkenaan, namun saya tidak mahu penonton meniru perbuatan sebegitu. Rasanya, penonton termasuk remaja sudah boleh berfikir secara matang. Bagi saya, perempuan merokok dalam kehidupan seharian ini memang buruk. Muka cantik tetapi mengapa perlu merokok? Amalan itu terbukti memberi kesan yang buruk untuk kesihatan bukan diri sendiri sahaja tetapi kepada orang lain. Saya melakonkan perbuatan merokok kerana ingin memberi kesan mendalam terhadap penjiwaan karakter sahaja.
Baiklah, boleh kongsi tentang kandungan anda sekarang?
Kandungan saya sudah berusia enam bulan. Insya-Allah, saya akan bersalin pada bulan Mei nanti. Jangan tanya tentang soal jantina kerana saya sendiri tidak tahu jantinanya. Dia suka menyorok. Biar sahaja nanti bersalin baru tahu jantinanya lelaki atau perempuan (tertawa).
Sudah sarat mengandung tetapi anda masih berlakon, mengapa?
Insya-Allah, pada bulan Mac nanti saya akan berehat daripada berlakon. Ini semua rezeki anak agaknya apabila ada sahaja tawaran diterima sejak akhir-akhir ini. Tahun ini, saya dan keluarga juga merancang untuk membuka sebuah restoran dan butik di Shah Alam. Bukan itu sahaja, dengan bantuan ibu mertua, tidak lama lagi, saya akan menjalankan perniagaan membekal pes masakan seperti pes mi bandung, nasi beriani dan asam pedas tidak lama lagi. Ibu mertua yang buat ramuan dan saya akan tolong menguruskan perniagaan tersebut.
Sejak kebelakangan ini, anda juga rajin berkongsi resipi masakan di Instagram, boleh jelaskan kenapa?
Ya, semasa tiga bulan pertama kehamilan, saya memang langsung tidak boleh memasak. Saya tidak tahan dengan boleh bau yang pelik. Sekarang sudah rajin ke dapur. Saya belum sampai tahap hebat, namun berkat tunjuk ajar ibu mertua, saya sudah boleh jamu tetamu yang datang ke rumah. Syukur, mereka menyukai masakan saya.