Sarah Hildebrand mahu segera kahwin




Pelakon Sarah Hildebrand pernah mahu meletakkan titik noktah dalam kerjaya lakonannya selepas usahanya selama lima tahun dalam bidang seni tidak membuahkan hasil. Bukan sahaja tiada tawaran lakonan, malah kredibilitinya sebagai pelakon juga dipertikaikan.

Ditambah memiliki raut wajah Inggeris hasil darah campuran sebelah bapanya yang berasal dari Amerika Syarikat, manakala ibunya berbangsa Melayu telah membataskan lagi perjalanannya dalam bidang lakonan tempatan yang lebih menerima wajah kemelayuan.

Justeru, dia pernah terfikir mahu beralih ke bidang perniagaan demi kelangsungan hidup. Namun, kerana minat, wanita berusia 29 tahun itu membulatkan hati untuk meneruskan karier dalam bidang seni.

Penantian selama lima tahun tidak sia-sia apabila namanya tiba-tiba meledak menerusi watak antagonis Nadine dalam drama rantaian fenomena, Pujaan Hati Kanda yang baru melabuhkan tirainya pada Selasa lalu.

“Jujurnya, memang banyak kali terfikir untuk berhenti berlakon dan beralih ke bidang yang lain. Ketika itu saya rasa bidang lakonan tidak sesuai dengan diri ini kerana begitu sukar untuk membina nama, ditambah tiada tawaran lakonan.

“Ikutkan mahu beralih ke bidang perniagaan, tetapi kerana minat, saya tetap tidak berputus asa. Oleh sebab itu, saya tidak kisah mengambil masa yang lama untuk dikenali ramai. Walaupun lambat, saya nampak hasil kerja keras yang dilakukan selama ini,” katanya yang sebelum ini bercita-cita mahu bergelar seorang kaunselor atau pakar psikologi.

Terang Sarah, kesilapan terbesarnya sebagai pelakon adalah terjun ke bidang lakonan tanpa sebarang persiapan dan ilmu sebaik bergelar juara program realiti Gadis M2 pada 2013. Mungkin kerana itu, Sarah yang memulakan kerjaya lakonan dengan drama Hujan Pagi arahan Rashid Sibir pernah dilabel sebagai pelakon kayu.

“Saya mengaku sebelum ini saya seorang pelakon kayu sebab terus terjun ke bidang lakonan tanpa sebarang ilmu. Saya tidak menyertai mana-mana kelas lakonan, sebaliknya hanya belajar menerusi pengalaman di set penggambaran.

“Disebabkan begitu kaku depan kamera, orang terus melabel saya tiada bakat,” ujarnya yang mula berhijab pada 2015.

Impak

Belajar daripada kesilapan dan enggan lakonannya kelihatan canggung di samping Remy Ishak dan Mira Filzah, Sarah mengambil inisiatif dengan menyertai kelas lakonan sebelum memasuki set penggambaran drama Pujaan Hati Kanda.

Berazam mahu bakat lakonannya diiktiraf, Sarah bukan sahaja melakukan kajian watak Nadine secara menyeluruh, tetapi juga mengambil kira butiran-butiran kecil seperti fesyen dan cara pemakaian tudung agar memberi impak kepada penonton.

“Selain pergi ke kelas lakonan, saya mengambil inspirasi watak Blair Waldorf daripada siri popular Gossip Girl. Saya curi-curi perangai Blair untuk buat orang menyampah dengan Nadine.

“Saya juga bekerjasama dengan pihak produksi untuk menghidupkan watak Nadine menerusi fesyennya supaya meninggalkan kesan kepada penonton. Contohnya, menyarungkan pakaian bercorak harimau bintang di kampung, ikut logik tiada orang yang akan berpakaian seperti itu,” tutur Sarah yang mendapat pendidikan sehingga sekolah tinggi di Amerika Syarikat.

Berkat usaha tambahannya, Sarah kini mampu tersenyum puas apabila dibenci oleh penonton setia drama tersebut. Kebencian meluap-luap penonton terhadapnya membuktikan lakonannya benar-benar menjadi.

Biarpun terkejut dengan impak yang ditinggalkan watak Nadine terhadapnya, Sarah bersyukur kerana kehadirannya dalam industri seni akhirnya disedari. Sebaik drama tersebut berakhir, Sarah telah dihujani tawaran lakonan.

“Alhamdulillah, selepas drama Pujaan Hati Kanda, saya telah mengacarakan sebuah program berjudul Dari Meja Peguam. Selain itu, saya juga menerima banyak tawaran lakonan. Itu membuktikan pengarah dan penerbit sudah mula mempercayai bakat lakonan saya.

“Saya akan kembali berlakon selepas ini, cuma tidak boleh didedahkan butirannya kerana masih dalam perbincangan. Cuma sebagai pelakon, saya akan memilih watak yang benar-benar meninggalkan kesan kepada penonton,” tutur Sarah yang teringin berlakon dalam drama atau filem aksi.

Cinta

Beralih bicara tentang kehidupan peribadinya, Sarah tidak menyembunyikan hatinya telah dimiliki oleh pengacara Nabil Mahir. Malah, menurut Sarah, mereka juga mempunyai perancangan untuk membawa hubungan tersebut ke peringkat perkahwinan dalam masa terdekat selepas lima tahun bercinta.

Hal ini kerana, Sarah tidak mahu mengikuti jejak langkah ibu bapanya yang berkahwin dan memiliki anak selepas usia 30 tahun.

“Memang ada harapan untuk berkahwin dalam tempoh terdekat kerana saya sudah 29 tahun, bukannya muda lagi. Saya juga tidak mahu memiliki anak selepas usia 30 tahun seperti kedua-dua ibu bapa saya.

“Perbincangan ke arah perkahwinan itu memang ada, cuma tidak tahu bila akan ia akan berlaku. Tiada paksaan dan gesaan daripada kedua orang tua soal perkahwinan kerana mereka amat memahami kesibukan kerjaya kami,” tutur Sarah yang merupakan seorang anak tunggal.

Saat ditebak, apakah tarikan Nabil yang membuatkan hatinya terpaut padanya, Sarah menjelaskan lelaki itu amat memahami diri dan kerjayanya sebagai anak seni.

“Nabil pun terlibat dalam bidang seni, jadi dia amat memahami diri dan kerjaya saya. Selain itu, dia seorang yang suka berlawak dan sikapnya sentiasa membuatkan saya gembira. Kami saling menyokong antara satu sama lain,” kata Sarah mengakhiri bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post