Mempertaruhkan lagu Bunga yang dicipta bersama Laq dan Kadok dendangan penyanyi bersuara nyaring, Ara Johari di pentas Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL33), Akim Ahmad tidak menafikan ada menaruh harapan untuk lagu tersebut mengungguli trofi utama.
Selain memburu kemenangan, pemilik nama sebenar Afiq Hakim Ahmad itu bagaimanapun mengharapkan satu perkara yang amat penting daripada Ara. Tidak lain tidak bukan, perkara tersebut adalah persembahan daripada penyanyi yang sudah boleh dianggap sebagai anak didiknya itu.
Jika pada edisi lalu, Ara dihantui masalah kesihatan sehingga menjejaskan persembahan lagu Warkah Untukku juga ciptaan Akim, vokalis band Akim & The Majistret itu khuatir masalah sama mencacatkan penampilan Ara pada tahun ini.
Justeru, Akim menyarankan supaya Ara bersedia dari segi mental dan fizikal untuk memberikan persembahan yang terbaik dan selebihnya, biarlah juri yang telah diberi mandat menghakimi lagu tersebut pada malam kemuncak AJL33 nanti membuat keputusan.
Berkongsi perkembangan terbaharu, Akim & The Majistret bakal melancarkan album yang diberi judul ATM Planet sekitar April nanti.
Bersempena usia sedekad dalam industri, Akim juga bercadang untuk mengadakan persembahan istimewa buat peminat tidak lama lagi.
Sebagai komposer, bagaimana anda melihat peluang untuk lagu Bunga menyerlah pada pentas AJL33?
AKIM: Alhamdulillah, dapat masuk AJL pun sudah suatu kejayaan buat saya sebagai komposer. Tipulah kalau saya kata tidak meletakkan harapan untuk lagu ini menang, namun apa yang saya lebih kisahkan adalah tahap kesihatan Ara pada malam AJL nanti.
Kita semua tahu, pada edisi tahun lalu dia gagal memberikan persembahan terbaik kerana masalah kesihatan. Jadi, untuk edisi kali ini saya mahu dia beri sehabis mungkin dan membuktikan kemampuan sebenar dirinya.
Sebagai penyanyi yang pernah menjulang takhta AJL, apakah panduan yang boleh anda berikan kepada Ara?
Kalau orang meletakkan harapan kepada kita, itu bermakna mereka percaya dengan bakat yang kita ada. Apa yang boleh saya kongsikan, hanya buat yang terbaik dan paling penting, jaga kesihatan.
Kalau kesihatan berada pada tahap terbaik, insya-Allah persembahan yang hebat akan dicetuskan. Sahabat saya yang juga pencipta lagu Bunga, Zimi juga selalu memberi nasihat dan memastikan Ara berada dalam keadaan terbaik sebelum AJL33 nanti.
Saya yakin Ara juga mahu melakukan yang terbaik demi peminat yang sentiasa memberikan sokongan padu buatnya. Jadi, untuk Ara tolong jangan sakit.
Sebagai ‘bekas’ juara yang pernah menjulang trofi AJL dengan lagu Potret, lagu mana yang anda rasa berpotensi untuk memberi saingan sengit?
Banyak lagu yang bagus untuk AJL33 kali ini. Sejujurnya, saya melihat potensi lagu seperti Sampai Bila dendangan Misha Omar, Semakin (Siti Sarah) dan Luluh (Khai Bahar). Ketiga-tiga lagu ini memiliki melodi dan penulisan lirik yang cukup sempurna.
Beralih tentang perkembangan seni terbaharu, apa yang anda boleh kongsikan?
Album Akim & The Majistret berjudul ATM Planet (Volume 1) akan dilancarkan pada April tahun ini. Album berkenaan mengandungi enam buah trek. Insya-Allah, selepas Aidilfitri, Akim & The Majistret akan mula bekerja untuk merakamkan ATM Planet (Volume 2) pula.
Bagaimana pula dengan perkembangan seni anda sebagai penyanyi solo?
Kalau tiada aral melintang, saya merancang untuk mengadakan persembahan sempena sedekad dalam industri muzik tanah air.
Dalam persembahan itu, saya akan menyanyikan lagu yang mula-mula memperkenalkan saya dalam industri seperti Bengang, Kau Dan Aku dan banyak lagi. Saya juga ingin menyanyikan lagu penyanyi lain yang dicipta oleh saya. Doakan persembahan ini menjadi realiti.
Bagaimana pula dengan kehidupan peribadi?
Masih dengan dua orang anak (ketawa). Alhamdulillah, Bella semakin membesar. Usianya sekarang tujuh tahun dan sudah bersekolah. Eshaal pula bakal menginjak usia dua tahun dalam beberapa bulan lagu.
Masalahnya sekarang, dia suka menjerit. Misalnya, kalau balik Sabah naik kapal terbang, suaranya memang akan berkumandang dalam pesawat, semua orang akan dengar kerana dia memang suka menjerit.