Instagram Sarah Fazny digodam lagi




Belum sebulan selepas membuka akaun Instagram baru, akaun Instagram milik penyanyi, Sarah Fazny sekali lagi digodam.

Menurut penyanyi berusia 24 tahun itu, dia sendiri pun tidak menjangka bahawa penggodam sama sekali lagi akan menggodam akaun Instagramnya.

“Sebelum ini, penggodam itu sudah menggodam akaun Instagram lama saya yang sudah mencecah lebih 100,000 pengikut.

“Kemudian, saya buka akaun baru sekitar sebulan lalu dan sehingga kini sudah mencecah jumlah pengikut lebih 36,000. Tak sangka pula dia akan menggodam sekali lagi,” katanya.

Menurut penyanyi lagu Urusan Hati itu lagi, dia juga akan berehat seketika daripada laman media sosial itu buat sementara.

“Saya akan rehat sebentar daripada Instagram buat seketika. Buat masa sekarang, apa-apa informasi baru akan saya kongsikan menerusi akaun Instagram kelab peminat, @kesayangansarahfazny,” katanya.

Sarah menyedari akaun Instagramnya digodam oleh penggodam itu dua hari lalu dan cuba untuk mengakses akaun berkenaan, namun gagal.

Penggodam itu juga menghubunginya menerusi aplikasi WhatsApp dan memintanya supaya membayar $200 sekiranya mahukan semula akaun berkenaan.

Sarah bagaimanapun tidak membalas mesej berbaur ugutan itu.

Post a Comment

Previous Post Next Post