Eyra Hazali enggan dianggap idola apabila bertudung




Pelakon Eyra Hazali tidak mahu peminat menganggap dirinya sebagai idola selepas membuat keputusan memakai tudung.

Eyra, 20, berkata, apa yang dilakukan sekarang ialah untuk memenuhi kewajipan sebagai seorang muslimah dan mengikut tuntutan agama.

“Setiap hari orang beritahu yang saya ini idola mereka. Saya baru saja berhijab dan bukannya berdakwah.

“Cuma mungkin imej yang saya bawa ini dilihat memenuhi syariat Islam. Saya labuhkan tudung dan orang selesa melihatnya.

“Tapi saya tak nak orang angkat sebagai idola dan puja lebih-lebih daripada Allah SWT kerana mereka ini kadangkala ‘over’ pula nak menyanjung begini,” katanya kepada Harian Metro.

Eyra yang kini terbabit dalam penggambaran siri drama Nur 2 menjelaskan, dia tidak mahu harapan peminat terhadapnya sehingga tahap itu dan lebih suka bersederhana dalam setiap perkara.

“Mungkin ada ilmu yang boleh dikongsikan, pasti saya akan kongsikan. Kadang-kadang saya tahu ilmu yang mereka tak tahu dan begitu juga mereka tahu apa yang saya tak tahu.

“Jadi, kita sama-sama membantu antara satu sama lain. Kadangkala kalau terlebih sangat, ada yang akan kecam saya juga.

“Biarlah saya buat secara perlahan-lahan kerana tak nak jadi ustazah pula di Instagram kerana tahu netizen ini kalau kita buat benda tak baik pun mereka tak suka sebenarnya,” katanya.

Eyra mula mengecapi populariti dan menjadi perhatian peminat menerusi siri drama Mr Grey selaku pemegang watak utama bergandingan dengan Fendy Bakry.

Dia terus menjadi perhatian peminat apabila bertunang dengan penjaga gol skuad bola sepak bawah 22 tahun negara, Muhammad Haziq Nadzli, 21, pada 1 Disember lalu dan dijadualkan berkahwin pada November depan.

Pada 12 Februari lalu, Eyra membuat keputusan bertudung selepas terbaca sepotong ayat berkaitan hidayah yang diberi Allah, selain tidak mahu berterusan memalit dosa kepada bapa jika tidak menutup aurat.

Post a Comment

Previous Post Next Post