
Penyanyi Wany Hasrita bakal terbang ke Greece pada 21 Januari depan bagi menjalani penggambaran klip video untuk lagu terbaharunya, Terlalu Memuja.
Menurut Wany, dia akan berada di sana selama lima hari dan menjalani penggambaran di beberapa lokasi menarik termasuk Santorini.
“Saya berasa sangat teruja memandangkan ini kali pertama saya menjalani penggambaran klip video di luar negara.
“Tambahan pula, lagu ini dicipta oleh Sharon Paul. Jadi, bertambah semangat saya mahu ke sana,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Nova 4 di ibu kota sebentar tadi.
Dalam pada itu, Wany turut meletakkan harapan yang tinggi terhadap lagu tersebut.
“Walaupun lagu ini berentak balada, tetapi kedengaran sedikit berbeza berbanding lagu saya sebelumnya.
“Jadi, saya berharap lagu Terlalu Memuja ini diterima dengan baik oleh peminat,” katanya lagi.