Fazura kalis kecaman




Berdiri kaku di atas pentas sambil menyeka air mata. Demikian reaksi spontan aktres, pengacara dan penyanyi Fazura tatkala menerima penganugerahan platinum menerusi kejayaan album sulungnya berjudul Fazura.

Album yang dihasilkan pada tahun lalu itu telah mencatatkan jualan sebanyak 200,000 melalui pelbagai platform termasuk jualan fizikal dan digital.

Meskipun album tersebut membuatnya menerima pelbagai kecaman sehingga dilabel tidak layak bergelar penyanyi, akhirnya Fazura berjaya membuktikan sebaliknya.

Tidak terkesan langsung dengan sebarang kecaman, wanita berusia 36 tahun itu meneruskan langkah seninya berbekalkan sokongan kuat peminat yang menggelarkan diri mereka sebagai fazbulouswarriors.

“Saya anggap itu semua dugaan dan memaafkan mereka,” tutur Fazura ringkas ketika mengimbau kembali kritikan yang diterima sepanjang bergelar penyanyi.

Selepas setahun bergelar penyanyi dan menerima plak platinum sebagai pengiktirafan, Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin tidak membangga diri.

Kekal dengan sifat rendah diri, isteri kepada aktor Fattah Amin itu menganggap dirinya masih baharu dalam bidang nyanyian.

“Setiap kejayaan hanya dapat digapai dengan izin Allah selain dengan sokongan peminat.

“Peminat sentiasa percaya dengan setiap lagu dan produk yang saya hasilkan. Sejujurnya, saya tidak sangka album Fazura berjaya mencapai status jualan platinum,” katanya.

Namun begitu, jelas Fazura pengiktirafan yang diterimanya secara tidak langsung membakar semangatnya untuk bekerja lebih keras dan muncul dengan produk berkualiti.

“Saya bekerja keras untuk menghasilkan setiap karya dalam album Fazura. Apa sahaja kontroversi yang berlaku, biarkan ia berlalu,” jelasnya yang tidak pernah melupakan insiden dilabel sebagai penyanyi syok sendiri ketika mengadakan persembahan pada konsert sempena perlumbaan Formula 1 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Selangor pada tahun lalu.



Hollywood

Berpegang pada prinsip jatuh sebelum bangkit, dalam diam, Fazura mendapatkan khidmat komposer dan penulis lirik antarabangsa untuk projek terbaharunya.

Bakal tampil dengan single berbahasa Inggeris, Can’t Forget Me yang dirakamkan sepenuhnya di Los Angeles, Amerika Syarikat pada tahun lalu, Fazura tidak ketinggalan turut memberi sentuhan emasnya.

Mendapat khidmat komposer Hollywood, Willy Beaman dan Cameron Forbes yang pernah mencipta lagu untuk penyanyi terkenal dunia seperti Lady Gaga dan Nicki Minaj, Fazura secara peribadi menyifatkan proses rakaman lagu berkenaan cukup istimewa.

Kata Fazura meskipun kali pertama bekerjasama dengan kedua-dua komposer berkenaan dia amat terkejut dengan keterbukaan mereka meskipun mencabar keupayaan vokalnya pada tahap maksimum.

“Kali pertama berjumpa mereka telah membuatkan saya berasa selesa. Kami duduk dan berbincang mengenai intipati lagu yang ingin disampaikan.

“Segalanya berjalan dengan lancar kerana mereka amat percaya pada kemampuan vokal saya dan pengalaman menjalani proses rakaman di depan mereka tidak akan saya lupakan,” jelasnya.

Single yang menjalani proses rakaman kurang lima jam itu hanya dapat didengar secara eksklusif oleh peminat pada 18 Januari ini menerusi platform digital.

Bakal dilancarkan bersama klip video sentuhan Fabian Joseph, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kenny Ong mendedahkan, kos pembikinan klip video single Can’t Forget Me adalah paling tinggi dalam sejarah syarikat rakaman tersebut.

Sensitiviti

Belum ditayangkan, klip video yang dirakamkan di sekitar ibu kota itu telah menimbulkan kontroversi. Semuanya gara-gara sebuah artikel yang mendakwa Fattah mengizinkan isterinya beraksi seksi dalam klip video berkenaan.

Tidak berdiam diri, Fazura pantas menjelaskan tiada adegan melampaui batas dalam klip video tersebut dan menyifatkan lirik berbaur seksi perlu dilihat dalam konteks positif.

“Saya sedar mengenai sensitiviti rakyat Malaysia ketika merakamkan lagu ini di Los Angeles. Saya secara peribadi memaklumkan kepada Willy dan Cameron bahawa saya tidak boleh menyebut beberapa perkataan kerana sensitif untuk pendengar Malaysia.

“Biarpun begitu, perkataan tersebut perlu juga dinyatakan demi menyampaikan maksud lagu,” dedahnya.

Saat ditebak bagaimanakah reaksi Fattah saat menonton klip video single terbaharunya itu, Fazura hanya ketawa dan menyatakan suaminya memberikan pujian.

“Sebaik dapat klip video berkenaan, saya ajak Fattah untuk menonton bersama dan melihat setiap reaksinya.

“Fattah berulang kali mengungkapkan perkataan ‘meletop’,” katanya yang bersyukur suaminya memahami penceritaan dalam lagu berkenaan.

Penyanyi yang menanam impian untuk berkolaborasi bersama Datuk Sheila Majid itu mendedahkan dia kini sedang dalam proses untuk menghasilkan sebuah lagu buat suami tercinta.

Katanya, lagu berkenaan adalah satu penghargaan dan tanda terima kasihnya buat Fattah sepanjang mereka hidup bersama sebagai suami isteri.

Selain itu, dia dan Fattah bakal tampil dengan single baharu dalam masa terdekat. Menurutnya lagu yang masih dalam proses rakaman itu bakal menjadi single kedua mereka bersama selepas lagu runut bunyi drama Hero Seorang Cinderella.

Beralih bicara tentang kerjaya lakonannya, Fazura bakal melebarkan sayap seninya ke Indonesia apabila terpilih sebagai watak utama dalam sebuah filem di sana.

Meskipun begitu, Fazura enggan mendedahkan butiran terperinci mengenai filem berkenaan dan menjelaskan terdapat beberapa syarat di dalam kontrak yang perlu diteliti.

“Saya mendapat tawaran sebuah filem di Indonesia, tetapi buat masa ini masih belum boleh didedahkan,” ujar Fazura.

Namun, apa yang pasti Fazura akan memegang watak sebagai heroin dan masih menanti pelakon gandingannya dalam filem tersebut.

Post a Comment

Previous Post Next Post