Sudah dapat lesen berlakon, Hanez Suraya hamil




Lebih lima tahun lenyap daripada radar industri hiburan, kelibat dramatis yang sinonim dengan watak antagonis, Hanez Suraya ketika muncul pada majlis pengumuman calon Anugerah Digital Muzik Era (EDMA) 2018 di The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini mencuri perhatian.

Masih menawan seperti tidak ditelan kontroversi silam, wanita berbadan dua dan ibu kepada seorang cahaya mata itu mendapat rezeki berganda apabila kini menggalas tanggungjawab sebagai duta dan jurucakap untuk produk kecantikan tempatan, Deeja Cosmetics.

Menganggap pelantikan tersebut sebagai pembukaan lembaran 2019 yang terbaik buat kerjayanya, Hanez benar-benar berharap untuk kembali menempatkan diri sebagai pelakon dalam industri.

Akur perlu mendapat izin daripada suami Romie Razin Adilha, Hanez berkata, setelah empat tahun hidup bersama, Romie kini lebih terbuka berhubung kecintaannya terhadap dunia seni.



Selepas lima tahun menghilang, bagaimana kehidupan Hanez sekarang?

HANEZ SURAYA: Sepanjang lima tahun lalu, saya meluangkan masa sepenuhnya membesarkan Puteri Aleesya yang kini berusia empat tahun.

Saya akur dengan kehendak suami agar menumpukan perhatian terhadap keluarga.Sekarang, Aleesya semakin besar.

Suami pula telah memberikan sedikit kelonggaran kepada saya untuk aktif dalam dunia seni. Hanya dengan izin suami, saya menerima tawaran sebagai duta bagi jenama Deeja Cosmetics.

Apakah peranan anda sebagai duta Deeja Cosmetics?

Saya mengikat kontrak bersama Deeja Cosmetics selama setahun untuk bersama-sama turun padang mempromosikan produk ini.

Bagaimanapun sebelum dilantik sebagai duta, saya telah lama menjalinkan kerjasama dengan Deeja Cosmetics kerana sering dijemput membuat penampilan dalam program mereka. Cuma pada kali ini, saya akan bergerak secara lebih serius. Dalam keadaan fizikal berbadan dua, saya amat berharap dapat melunaskan tanggungjawab dengan baik.

Bagaimana keadaan anda sekarang ini?

Alhamdulillah, saya sihat begitu juga dengan anak dalam kandungan. Jika tiada aral melintang, saya akan mendapat anggota keluarga baharu pada Julai nanti.

Bagaimana anda mahu kembali aktif sedangkan anda kini sedang hamil?

Ini semua rezeki Allah. Mengikut perancangan awal, Hanez mahu aktif berlakon pada tahun ini. Biarpun saya menyepikan diri selama lima tahun, masih ada penggiat seni yang mahukan khidmat lakonan saya dalam karya mereka. Pada awalnya, saya terpaksa menolak kerana suami tidak memberi keizinan. Berbeza dengan sekarang, suami lebih terbuka dan memahami minat saya.

Apabila sudah mendapat izin, tiba-tiba saya hamil pula. Jadi, perancangan untuk berlakon terpaksa ditangguhkan.

Bagaimana perasaan anda sepanjang tidak diizinkan berlakon?

Saya amat sedih. Sehingga satu tahap saya memaksa suami melaburkan wang, mencari penulis skrip dan produksi sesuai untuk menerbitkan sendiri drama supaya saya dapat berlakon.

Saya amat berharap sekurang-kurangnya dapat menjayakan sebuah telefilem yang memberi kepuasan kepada diri.

Peminat juga menanti kemunculan saya. Hampir setiap hari pada ruangan komen dalam laman sosial saya, pasti ada yang bertanyakan soal kemunculan semula menerusi drama.

Pernah dikecam dan dipinggirkan khalayak gara-gara kontroversi perkahwinan suatu masa dahulu, adakah anda berasa masih mempunyai peminat?

Diakui, memang satu masa dahulu saya dipangkah oleh khalayak.

Ramai yang tidak sukakan saya. Saya hanya berdiam diri dan menerima insiden tersebut sebagai ujian. Kesannya kini, mereka kembali menerima saya.

Kesudian peminat menerima semula saya walaupun tidak sehangat seperti zaman awal pembabitan dalam industri sebenarnya sudah cukup untuk membuatkan saya bersyukur.

Setelah kembali diterima, saya tidak mahu mempersiakan peluang kedua ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post