
Penyanyi terkenal, Datuk Jamal Abdillah mendedahkan isterinya, Zai Izzati Khiruddin sukar hamil kerana terkena buatan orang sehingga pernah mengalami beberapa kali keguguran sebelum ini.
Jamal, 60, percaya pelaku tersebut berkemungkinan ingin menghantar ilmu hitam kepadanya tetapi yang menerima tempiasnya adalah isteri sendiri.
“Kalau ditanya tentang keinginan memiliki zuriat, memang saya teringin sangat walaupun cuma seorang. Akan tetapi, isteri sudah banyak kali keguguran selain mengalami tanda merah-merah pada badan.
“Mungkin orang yang menghantar ilmu hitam itu tujukan kepada saya tetapi terkena kepada isteri. Saya sangat kasihan kepadanya sebab sekarang badannya makin kurus. Orang mahu pedajal saya tetapi dia yang kena,” ujarnya ketika ditemui selepas sidang media Konsert 3 Suara di Dewan Berjaya, Kelab Ekuestrian Bukit Kiara, di sini sebentar tadi.
Malah lebih teruk, pelantun lagu Kekasih Awal dan Akhir itu juga memberitahu isterinya turut mengalami pendarahan tanpa henti sejak beberapa bulan lalu.
Meskipun sudah mendapatkan rawatan bersama doktor pakar dan pengamal perubatan tradisional, namun tiada perubahan positif yang berlaku.
“Macam-macam cara saya sudah lakukan untuk merawat tetapi apabila berjumpa doktor pakar, jawapan diberi adalah disebabkan masalah hormon.
“Sedangkan setiap hari isteri saya mengalami pendarahan dan itu sudah menunjukkan sesuatu yang pelik sedang berlaku. Apabila cuba mendapatkan rawatan tradisional juga tidak berhasil,” ujarnya yang tidak lagi menetap di kediaman lamanya di Shah Alam, Selangor kerana masalah tersebut.
Jamal dan Zai Izzati yang berusia 25 tahun bernikah pada 1 April 2017 di Ipoh, Perak dan itu merupakan perkahwinan keempatnya.
Sebelum ini Jamal pernah mendirikan rumah tangga bersama tiga bekas isterinya iaitu Basariah Abdul Latiff, Noraina Mohd. Yusof dan Fatimatuzahrah Samad.
Jamal mempunyai dua anak lelaki iaitu Osama Yamani, 18, hasil perkahwinannya bersama Noraina dan Ahmad Zaki Yamani, 12, daripada bekas isteri ketiganya, Fatimatuzahrah.