Siti Sarah percaya pilihan suami




Biarpun pernah membuat tinjauan daripada peminat, namun Syafiq Kyle yang awal-awal lagi menjadi pilihan pertama Siti Sarah diputuskan untuk membintangi klip video Semakin.

Percaya terhadap keputusan suami yang akhirnya membawa hasil kerja terbaik adalah satu tindakan bijak yang diambil penyanyi Siti Sarah dalam menentukan hala tuju penghasilan klip video rasmi single terbaharunya, Semakin.

Keputusan tersebut adalah untuk menentukan siapakah pelakon lelaki yang dirasakan sesuai bagi membintangi klip video berkenaan sebagaimana yang pernah dikongsikan pasangan suami isteri itu menerusi Instagram mereka sejak lebih dua minggu lalu.

Jawapannya terlerai apabila nama pelakon Syafiq Kyle diumumkan sebagai bintang klip video rasmi lagu Semakin yang telah pun dilancarkan menerusi saluran Indigital Sdn. Bhd. dalam YouTube pada 15 Januari lalu.

Pengumuman tersebut sekali gus menamatkan penantian peminat yang meletakkan jangkaan bahawa salah seorang daripada tiga pelakon lelaki iaitu Remy Ishak, Zul Ariffin dan Fikry Ibrahim yang menjadi pilihan ramai menerusi tinjauan yang dilakukan di Instagram untuk membintangi klip video tersebut.

Sebelum ini, Siti Sarah dan Shuib pernah membuat tinjauan dengan kempen Cabaran #MVSemakin daripada pilihan peminat menerusi Instagram untuk menentukan siapakah pelakon yang dirasakan sesuai untuk membintangi klip video berkenaan.

Nama Shuib sendiri, malah menjadi saingan hebat kepada ketiga-tiga pelakon berkenaan, namun ditolak oleh Siti Sarah daripada memasuki senarai akhir.

Ulas Siti Sarah, penyingkiran Shuib diputuskan kerana bimbang hasil klip video nanti akan berbeza daripada apa yang dirancangkan.

“Saya percaya kalau dia yang ada dalam klip video nanti, orang akan ketawa melihat dirinya. Sebab ramai peminat sudah pandang dia dari sudut humor, jadi agak sukar untuk ubah perkara itu,” jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran klip video Semakin di Redbox The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini.



Pilihan pertama

Ditanya tentang pemilihan Syafiq Kyle, pelantun lagu Kesetiaan itu mengakui pelakon berusia 27 tahun tersebut adalah pilihan pertamanya sejak mula-mula terfikir untuk menghasilkan klip video Semakin. Biarpun begitu, Siti Sarah menegaskan, Shuib yang bertindak selaku pengarah dan CK Faizal sebagai pengarah bersama untuk klip video tersebut lebih mengetahui apa yang terbaik dari kaca mata seorang pengkarya.

“Saya cuma buat satu sahaja permintaan iaitu mahu lelaki tersebut adalah seorang pelakon profesional. Alhamdulillah, kami berjaya mendapatkan pilihan pertama iaitu Syafiq Kyle.

“Biarpun jadual masing-masing sangat padat tetapi saya teruja kerana berjaya menjalin kerjasama dengan Syafiq. Dia seorang pelakon yang bagus dan berjaya menyampaikan apa yang kami mahukan untuk klip video ini,” katanya.

Bercerita tentang pengalamannya bekerja dengan Syafiq, hanya perkataan teruja dan mengagumkan terbutir daripada bibirnya.

Menyifatkan dirinya sangat bertuah dapat bekerja dengan Syafiq, pelakon drama Nur itu juga seorang yang banyak membantunya dari segi lakonan dan menjiwai emosi.

“Saya tidak pernah berlakon untuk situasi serius seperti ini, jadi memang agak kaku sedikit. Lagipun bidang lakonan adalah liga Syafiq, saya cuba masuk ke dalam dunianya.

“Mujurlah Syafiq banyak membantu dan menyalurkan energi kepada saya untuk melancarkan proses penggambaran. Sebagai contoh, saya dapat rasakan emosi marah daripadanya tanpa dia perlu berbuat apa-apa pun,” ceritanya yang hanya mengambil masa sehari untuk penggambaran klip video muzik tersebut.

Pada masa sama, Siti Sarah mengakui sebagai peminat pelakon drama Mencintaimu Mr. Photographer itu, dia sememangnya mengikuti setiap lakonan Syafiq menerusi televisyen.

Babak yang paling sukar dilakukan sepanjang penggambaran video muzik berkenaan adalah ketika Syafiq menarik tudung Siti Sarah dari arah belakang.

Namun, Siti Sarah bersyukur kerana Syafiq banyak membantunya dengan memberi tunjuk ajar agar lakonannya tampak semula jadi dan tidak kekok.

“Ia babak yang paling sukar dan memberi kesan kepada saya. Sebab selepas selesai penggambaran pun, saya masih teringat-ingatkan babak itu.

“Saya katakan kepada Shuib, Syafiq memang seorang pelakon yang bagus. Biarpun dalam babak itu dia cuma tarik tudung, tetapi saya dapat rasa energi marahnya dengan berkesan,” ujarnya yang mengharapkan kehadiran Syafiq memberi kelebihan untuk video muzik Semakin ditonton ramai.



AJL33

Diajukan persoalan tentang persiapannya menjelang pentas akhir Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL33) pada 3 Februari depan, Siti Sarah jujur mengakui, agak tertekan dan gementar menjelang detik penentuan.

Manakan tidak, sejak lebih 15 tahun berada dalam industri, ini merupakan kali pertama ibu kepada tiga cahaya mata itu akan menjejakkan kaki di atas pentas berprestij tersebut untuk bertanding.

“Sejujurnya saya akui memang tertekan dan sangat takut. Memikirkan jangkaan peminat satu perkara, tetapi yang paling saya bimbangkan adalah kemampuan sendiri.

“Selama ini, rezeki saya hanya mampu sampai ke semi final. Maka, perasaan gementar dalam diri saya jadi berganda untuk final.

“Saya sudah saksikan pertandingan ini sejak kecil. Sekarang saya tidak dapat bayangkan, sendiri yang akan masuk bertanding,” ujarnya yang tidak meletakkan sebarang harapan untuk memenangi sebarang kategori dalam AJL33 kelak.

Berkongsi sedikit persiapannya menuju ke malam final, Siti Sarah lebih banyak menghabiskan masa dengan latihan selain mengubah pola aktiviti hariannya.

Demi fokus sepenuhnya terhadap pertandingan tersebut, Siti Sarah juga tidak menerima tawaran menyanyi buat sementara waktu.

Dalam perancangan lain, dia juga bakal menghasilkan sebuah lagi single baharu.

“Kalau ikutkan saya mahu rancak pula untuk single baharu nanti, tetapi saya terima banyak lagu berentak balada. Jadi kita tengoklah macam mana nanti, biar selesaikan AJL33 dahulu,” tutupnya.

Selepas lebih dua minggu berteka-teki, status pelakon lelaki yang dicari Siti Sarah bagi membintangi klip video rasmi lagu Semakin akhirnya terjawab dengan kehadiran pelakon kacak Syafiq Kyle di sisinya.

Post a Comment

Previous Post Next Post