Tutup ruangan komen, Nabila Razali tidak mahu andaian bertalu-talu




Klip video Vroom Vroom boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music bermula hari ini.

Bertindak menutup ruangan komen di Instagram, penyanyi Nabila Razali menegaskan dia tidak mahu netizen membuat andaian yang bukan-bukan terhadapnya.

Kata Nabila atau nama sebenarnya, Nur Nabila binti Mohd Razali, 27, apa yang dilakukan itu kerana tidak mahu sebarang negativiti terhadap apa yang sedang diusahakan iaitu single terbaharu berjudul Vroom Vroom ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong.

"Saya tidak mahu orang buat andaian yang bukan-bukan atau negativiti. Hari ini saya lancarkan single terbaharu Vroom Vroom maka sudah terjawab kepada persoalan tersebut.

"Saya tidak mahu andaian datang bertalu-talu. Terima kasih kepada yang menunggu lagu ini," kata Nabila pada pelancaran lagu tersebut di The Bee, Publika di sini sebentar tadi.

Dalam klip video tersebut, Nabila menggunakan khidmat pelakon Fendy Bakri sebagai pelakon utama selain melibatkan rakan-rakan artis lain seperti Ara Johari, Nia Atasha dan Sharifah Rose.

"Saya memang mahukan pelakon yang berkulit gelap dan tinggi untuk terlibat dalam klip video ini. Orangnya adalah Fendy.

"Selain itu, kriteria yang saya inginkan untuk menjayakan klip video ini kalau boleh lelaki berparut. Ada pilihan lain namun selebriti yang saya inginkan jadualnya ketat. Apapun, saya gembira Fendy sudi terlibat sama dalam klip video ini," dedahnya.

Klip video Vroom Vroom boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music bermula hari ini.

Hujung minggu lalu, Nabila hanya meninggalkan sekeping foto bersama catatan ‘Mampukah ‘spanar hidup’ ini mendapat lebih 100,000 tanda suka’?

Perkara itu turut menjadi persoalan segelintir peminat yang menyangka laman sosial penyanyi itu digodam individu tidak bertanggungjawab.

Namun, segelintir peminat pula melihatnya sebagai gimik memandangkan penyanyi itu bakal memperkenalkan single terbarunya dalam masa terdekat.

Terdahulu, Nabila pernah mencetuskan kontroversi apabila menggunakan gimik putus cinta dengan pelakon, Aedy Asyraf sebelum melancarkan single Pematah Hati.

Meskipun usahanya itu mendapat kritikan ramai, lagu itu berjaya meraih perhatian apabila mencatat sejuta tontonan dalam tempoh 24 jam dilancarkan di YouTube.

Post a Comment

Previous Post Next Post