Hannah Delisha tidak pamer kemewahan




Media sosial merupakan platform yang sering digunakan oleh selebriti untuk berkomunikasi dengan peminat. Selain itu, platform yang terdiri daripada pelbagai jenis medium tersebut turut dijadikan sebagai tempat untuk berkongsi hal peribadi dan menyuarakan pendapat.

Namun, tidak semua selebriti menjadikan platform media sosial sebagai tempat untuk menjaja rutin seharian. Bagi pelakon Hannah Delisha, apa yang dikongsi dalam laman sosial adalah terhad untuk perkembangan kerjayanya sahaja.

Ditemui pada majlis pelancaran telefon bimbit Huawei model Nova 4 di ibu kota baru-baru ini, pelakon berusia 23 tahun yang merupakan duta jenama telefon mudah alih berkenaan mengakui, dia lebih selesa menyimpan kisah peribadi daripada bercerita tentangnya di alam maya.

Pada masa sama, Hannah atau nama lengkapnya, Hannah Adlina Blackburn Birch itu turut menjelaskan, dia tidak gemar memperagakan kemewahan, apatah lagi berkongsi dalam media sosial tentang barang-barang yang dibelinya.



Tahniah Hannah kerana kekal terpilih sebagai duta jenama Huawei, kali ini untuk model Nova 4. Boleh kongsikan sedikit bagaimana kerjasama anda bersama Huawei masih terjalin yang kini mencecah usia hampir tiga tahun?

HANNAH: Sejak kerjasama dengan siri Nova oleh Huawei, saya perhatikan syarikat pembuatan telefon bimbit ini peka dengan kehendak pengguna.

Setelah bergelar duta sejak model Nova 2i diperkenalkan, saya lihat perkembangan luar biasa jenama berkenaan, terutama bagi pembeli yang terdiri daripada golongan muda. Sebagai selebriti yang pentingkan media sosial, saya begitu kagum dengan perubahan yang dibawakan.

Adakah anda begitu mengambil berat tentang media sosial sejak bergelar selebriti?

Saya tidak menumpukan sepenuh perhatian terhadap media sosial. Sebagai contoh, saya juga tidak merancang apakah kandungan yang akan dimuat naik dalam Instagram.

Sejauh manakah anda menggunakan media sosial untuk berkongsi tentang kehidupan?

Sejujurnya, saya tidak gemar berkongsi tentang kehidupan peribadi. Saya juga tidak gemar untuk berkongsi tentang barang-barang yang dibeli dalam Instagram. Saya mahu terus kekal dengan sikap rendah diri dan menjalani kehidupan seperti manusia normal lain.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna saya membangkang jika ada yang mahu berkongsi tentang barang-barang yang mereka beli. Mereka sepatutnya berbangga kerana berbelanja dengan duit sendiri.

Anda sudah bergelar duta produk antarabangsa. Bagaimanakah anda membahagikan masa antara kerja-kerja komersial dan bidang seni?

Pada pendapat saya, selagi ada rezeki dalam bidang ini, saya akan ambil apa jua peluang kerjasama. Saya tidak kisah jika rezeki tersebut datang dalam bentuk gelaran duta produk, lakonan atau nyanyian. Jika saya selesa dan mampu untuk menjayakannya, saya akan teruskan.



Boleh kongsikan sedikit mengenai perkembangan terbaharu anda dan mungkin perancangan sepanjang 2019?

Saya bakal menjalani penggambaran sebuah drama bersiri berjudul 30 Hari Pesanan Suara bersama pelakon Shukri Yahaya. Mengikut jadual, drama tersebut akan ditayangkan pada bulan Ramadan nanti.

Adakah boleh diandaikan bahawa tahun 2019 akan terus membawa kecemerlangan buat anda?

Saya serahkan segalanya kepada Allah. Namun apa yang pasti, saya mahu dekatkan diri dengan aura positif untuk tahun ini. Itulah perkara yang ingin saya capai.

Post a Comment

Previous Post Next Post