Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak berniat untuk menyertai bidang politik meskipun beliau merancang untuk memperbanyakkan aktiviti kemasyarakatan sempena usianya yang bakal menginjak ke angka 40 tahun ini.
Siti ketika ditemui berkata, selain aktiviti kemasyarakatan, beliau juga mahu memberi tumpuan penuh terhadap bidang seni dengan terus menghiburkan peminatnya.
“Benar, saya banyak terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan, lebih-lebih lagi apabila saya dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Akademi Seni Dan Warisan (Aswara) dan Ahli Pemegang Amanah Yayasan Pintar. Tetapi saya tidak berhasrat untuk menceburi bidang politik.
“Tetapi, hati lebih tenang dan senang jika saya menumpukan perhatian terhadap bidang nyanyian,” katanya ketika ditemui pada Showcase Datuk Seri Siti Nurhaliza Oleh GoShop di sini sebentar tadi.
Dalam pada itu, Siti yang kini popular dengan lagu Anta Permana itu melahirkan rasa syukur kerana diberi kesihatan pada usia 40 tahun.
“Alhamdulillah, saya diberi kesihatan yang baik pada usia ini untuk terus bekerja dan menghiburkan peminat.
“Selain itu, saya turut bersyukur dengan kelahiran anak sulung Siti Aafiyah pada tahun lalu,” katanya lagi.
Siti bakal menyambut hari lahirnya yang ke-40 pada Jumaat depan.