Fasa mana yang tidak pernah dilalui Adira Suhaimi. Wanita putih melepak, bertubuh comel, tetapi mempunyai suara yang padu itu pantas menyemai populariti.
Sebut sahaja lagu Ombak Rindu, Ilusi untuk drama Awan Dania dan pelbagai lagu runut bunyi bagi filem atau drama yang pernah dinyanyikan Adira, lantas dia digelar Queen of Soundtrack.
Ironi, Adira juga berdepan fasa getir apabila khalayak mula tersirap hati tatkala dia mengambil keputusan untuk menjadi isteri kedua kepada ahli perniagaan bernama Datuk Red.
Masuk ke fasa transformasi berkenaan, penyanyi yang pernah menggondol anugerah Penyanyi Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular pada 2014 itu tampak diam dalam arena nyanyian. Ini kerana, wanita berusia 28 tahun itu dilihat berkelana dalam dunia kekeluargaan pula.
Bertemu dengan banyak ragam orang yang membencinya, Adira pula bergerak ke arah elemen positif, membina hidup tanpa perlu disimbahi percikan glamor bersama dua permata hatinya, Anggrek dan Asan.
Suka atau tidak, hakikatnya pemilik nama sebenar Siti Adira Suhaimi itu masih mempunyai kelompok peminat yang sayangkan dia dan kagum dengan bakat suara yang dia miliki.
“Kenangan pahit bagi tahun 2018 dan tahun sebelumnya, biarlah menjadi kenangan. Sementara perkara yang positif pula, kita bawa ke tahun 2019. Buka buku baharu dan perbaiki apa yang kurang.
“Saya tidak pernah terlintas untuk berhenti menyanyi. Rugi kalau saya berhenti kerana famili dan peminat tidak pernah berhenti menyokong saya. Jadi, kenapa saya harus mengalah,” ujar ibu kepada dua cahaya mata itu penuh semangat.
Pujaan Hati
Cukup hanya Anggrek dan Asan yang menjadi pencucuh semangatnya dalam kehidupan sehari-hari.
Dua anak kecil itu menjadi kekuatan buat Adira untuk menongkah arus badai yang sering singgah dalam kotak kehidupannya.
Dalam masa senggang menguruskan keluarga, Adira mengaku, tidak lupa untuk menyelitkan perancangannya untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian.
Ternyata, pelangi harapan muncul dalam kehidupan penyanyi berasal dari Ranau, Sabah itu apabila dia disunting syarikat rakaman Nova Music (M) Sdn. Bhd, sekali gus muncul menerusi single terbaharu berjudul Pujaan Hati.
“Alhamdulillah, saya diminta untuk menyanyikan lagu Pujaan Hati bagi lagu runut bunyi drama Pujaan Hati Kanda yang kini sedang bersiaran di slot Akasia, TV3, lakonan Remy Ishak dan Mira Filzah.
“Bahkan, video lirik lagu berkenaan berjaya meraih 300,000 tontonan di YouTube selepas dikongsikan dalam masa dua minggu,” ujarnya yang berharap karier seninya kembali bersinar pada 2019.
Status bertiga lebih baik
Ternyata sikap mesra dan kelakar Adira masih menebal dalam diri penyanyi putih gebu itu. Sesekali dia tertawa besar melihat telatah anak perempuannya, Anggrek yang bakal mencecah usia dua tahun pada Mac nanti.
“Dia cemburu dengan adik dia,” kata Adira dalam loghat Sabah pekat sambil merujuk kepada anak keduanya, Asan yang kini berusia empat bulan.
Menyambung bicaranya, Adira memberitahu, terpaksa membawa kedua-dua anaknya ke sesi fotografi kerana pembantu rumahnya sedang bercuti.
Mengakui tidak mahu menambah cahaya mata dalam masa terdekat, Adira turut diminta untuk menjelaskan mengenai status ‘bertiga lebih baik’ yang dimuat naik di Instagramnya baru-baru ini berserta gambar dirinya bersama Anggrek dan Asan.
Riak ketawa tadi kelihatan menyusut di wajah Adira. Sambil menghelakan nafas dia memberitahu, status berkenaan dikongsi selepas dirinya tidak mampu lagi untuk membendung perasaan kecewa.
“Saya tidak mahu dedahkan apa puncanya saya naik status begitu. Terpulanglah kepada semua mahu fikir apa sahaja.
Hakikatnya, dua, tiga kali juga saya berfikir untuk kongsi status berkenaan di Instagram.
“Cuma, situasi yang melanda saya ketika itu tidak dapat membendung perasaan sedih dan kecewa, lalu saya kongsikan di Instagram,” ujarnya yang gembira dikurniakan sepasang cahaya mata sebagai penguat langkah kehidupannya.
Anggrek
Berkongsi tentang anaknya, Anggrek, kata Adira, dia tidak kisah andai anak perempuannya itu mengikut jejak langkahnya sebagai penyanyi kelak.
Tambahan pula, anaknya itu ada menunjukkan minatnya pada muzik tatkala mendengar lagu di radio mahupun di skrin televisyen.
“Saya nampak minatnya dalam bidang nyanyian. Kalau ada rancangan hiburan nyanyian di skrin televisyen dia akan tengok sampai habis. Bahkan, dia juga mampu menyanyi tanpa sumbang,” tutur Adira.
Meskipun tidak kisah anaknya terlibat dalam dunia seni, kata Adira, dia juga mahu anaknya menjadi manusia berbudi pekerti dan hormat pada orang tua.