Yuna dan Adam telah mendirikan rumah tangga mereka sejak Januari tahun lalu.
Penyanyi Yuna sanggup berehat daripada bidang nyanyian selama setahun jika ditakdirkan menimang cahaya mata.
Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Zarai, 33, berkata, menguruskan anak perlukan komitmen yang besar dan pelantun lagu Terukir Di Bintang itu tidak mahu melepasi momen indah proses kehamilan.
“Saya tidak merancang. Cuma, kalau boleh biarlah kehamilan itu berlaku selepas segala kerja yang saya usahakan selesai.
“Sejujurnya, saya mahu menikmati proses kehamilan sebaiknya. Doakanlah kami,” ujar Yuna kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada majlis pelancaran Yuna X Christy Ng di ibu kota sebentar tadi.
Melanjutkan bicara, Yuna memberitahu dia yang kini berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) berulang alik ke Malaysia untuk bertemu dengan suaminya yang menetap di sini.
Tambah Yuna, dia masih belum mempunyai perancangan untuk kembali dan meneruskan kerjayanya di Malaysia.
“Setakat ini, rezeki saya masih di AS. Namun, saya tetap pulang ke Kuala Lumpur dua bulan sekali untuk bertemu suami,” katanya lagi.
Yuna dan suaminya, Adam Sinclair mendirikan rumah tangga pada Januari tahun lalu.