Fazura Perut buncit bukan hamil




Khabar angin tentang kehamilan pelakon Fazura semakin hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini apabila perutnya kelihatan sedikit berisi dalam sebuah video yang dikongsi suaminya, Fattah Amin di Instagram.

Fazura yang ditemui pada majlis pelancaran runut bunyi filem Petta lakonan Rajanikanth menafikan perkara tersebut.

Dalam perkembangan lain, pelakon filem Bicara Hati itu turut menjawab tentang rasa amarahnya terhadap penulisan sebuah artikel yang membandingkan perkahwinannya dengan Elfira Loy.

Kata Fazura, dia berasa amat kecewa dan malu apabila perkahwinan yang sepatutnya menjadi momen paling bahagia setiap individu telah menjadi bahan perbandingan.

Kosmo!: Apakah penjelasan Fazura berkenaan isu ‘baby bump’ yang kelihatan dalam satu perkongsian video oleh Fattah di Instagram?

Fazura: Saya berasa amat bersyukur kerana ramai yang sayang dan prihatin dengan keadaan saya. Sebenarnya, ketika menonton video tersebut saya sendiri sudah perasaan bahagian perut kelihatan agak kembung dan mungkin ramai yang akan keluarkan spekulasi bahawa saya sudah mengandung. Ceritanya, ketika dalam pesawat menuju ke destinasi percutian di Maldives, saya dan Fattah seharian tidak makan. Jadi, sebaik tiba di destinasi percutian, kami makan dengan kuantiti yang banyak.

Apakah komen anda selepas terlalu kerap dilanda spekulasi kehamilan?

Saya dan Fattah sememangnya merancang untuk berkeluarga. Kami sedar walaupun selepas berkahwin jadual kerja memang akan sentiasa padat. Insya-Allah, tentang anak, kalau sudah bersedia dan ada rezeki kami sendiri akan umumkan kepada orang ramai.

Adakah timbul sebarang kebimbangan untuk menggayakan pakaian longgar kerana spekulasi kehamilan?

Buat masa sekarang, saya sememangnya suka menggayakan pakaian yang longgar. Masalahnya, apabila memakai baju longgar orang mula mengatakan saya sudah hamil. Sejujurnya, saya tiada masalah tentang perkara tersebut. Biarpun selesa dengan pakaian yang longgar, saya masih akan menggayakan gaun ke majlis-majlis tertentu mengikut keperluan.

Fazura telah menempelak penulisan sebuah artikel baru-baru ini yang membandingkan perkahwinan anda dengan Elfira Loy, apa komen lanjut Fazura?

Maaf saya cakap, itu budaya kita. Bagi saya, tugas wartawan atau penulis blog adalah menyebarkan perkara yang baik-baik. Bukan membanding-bandingkan siapa lebih hebat atau perkara seperti itu. Ketika menerima dan membaca artikel tersebut, saya amat terkejut. Sampai begitu sekali untuk menjual cerita. Saya dan Fattah sendiri tidak pernah menganggap kami pasangan nombor satu atau power couple. Malah, Elfira sudah saya anggap seperti adik sendiri.

Adakah anda berasa malu atau kecewa dengan penulisan artikel berkenaan?

Sangat mengecewakan. Maksud saya kita sudah berada di tahun 2019, tolonglah mengajar masyarakat untuk tidak membanding-bandingkan sesuatu perkara yang menjurus ke arah keburukan. Mengapa perlu kaitkan saya dengan orang lain? Tidak salah andai menulis perkara yang baik-baik dan mendoakan yang terbaik buat Elfira.

Boleh kongsikan perkembangan terbaharu karier seni anda?

Buat masa ini saya belum terlibat dengan sebarang penggambaran drama. Saya bersikap agak selektif kerana tidak mahu terlibat dengan projek drama yang klise seperti cinta tiga segi dan perebutan harta. Jika boleh, saya mahukan sebuah projek drama seperti Nur. Bagi saya Nur merupakan sebuah drama yang amat bagus. Sementara, filem The Legend Of Pontianak lakonan saya bakal menyusul tidak lama lagi. Selain itu, saya juga akan melancarkan single terbaharu dalam masa terdekat cuma masih menunggu lampu hijau daripada syarikat rakaman, Universal Music.

Post a Comment

Previous Post Next Post