Shiha akui ada segelintir netizen tidak menyukainya.
PEnyanyi Shiha Zikir berasa hairan dengan segelintir rakyat Malaysia yang memperlekehkan dia selepas membaca artikel mengenai persembahannya di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.
Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir, 32, berkata tidak mudah bagi sesiapa sahaja untuk menembusi pasaran luar dan menerima sokongan daripada rakyat negara lain.
"Bila artikel keluar kat Malaysia, yang peliknya komen orang luar positif. Segelintir komen daripada orang kita sendiri pula yang memperlekehkan saya.
"Bagi saya, sesiapa juga bukannya mudah nak masuk mana-mana pasaran dan negara. Dan bukan mudah untuk rakyat negara lain nak sokong.
"Tapi Alhamdulillah walau bukan semua rakyat Indonesia kenal saya tapi mereka sokong. Ada juga tak suka tapi saya tak pelik sebab memang saya orang luar," katanya kepada mStar Online.
Luahan Shiha di Instastory miliknya.
Shiha diminta mengulas mengenai status di laman Instastorynya yang meluahkan rasa kecewa terhadap segelintir rakyat Malaysia yang memberi komen negatif.
Biarpun menerima kritikan tersebut, Shiha akui ia adalah lumrah kehidupan di mana tidak semua orang akan menyukai tidak kira siapa pun.
Menurut Shiha, dia terharu dengan sokongan media di Malaysia yang sudi menulis kisah duetnya dengan penyanyi Rhoma Irama ketika mengadakan persembahan di Jakarta, Indonesia.
"Sebenarnya saya okey saja sebab dah lumrah hidup ni memang bukan semua orang akan suka kita. Tak kisah la siapa pun kita.
"Sewaktu di Jakarta baru-baru ini, saya rasa terharu sangat dengan wartawan-wartawan Malaysia yang sudi tulis cerita mengenai saya di sana, tambah-tambah fasal duet dengan Pak Haji Rhoma.
Shiha dapat berduet dengan Pak Haji Rhoma Irama ketika mengadakan persembahan di Jakarta.
"Artis-artis kat sana pun cakap yang saya ni antara yang bertuah dapat berduet sebab bukan senang Pak Haji akan setuju untuk berduet," ujarnya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Pipiyama ini memberitahu dia tidak kisah apa tanggapan orang terhadap dirinya disebabkan minatnya terhadap bidang seni dan akan terus membawa nama Malaysia di mana sahaja.
"Harap mentaliti orang kita ni cepat berubah. Kalau tak ada ayat yang elok di media sosial lebih baik diam sahaja.
"Disebabkan minat saya dalam bidang seni ni, jadi saya tak kisah apa orang nak cakap asalkan saya tahu niat sendiri.
"Saya jaga batas-batas yang sepatutnya dan saya akan teruskan bawa nama Malaysia di mana-mana sahaja," katanya.