Pelakon Nelydia Senrose memberitahu salah satu doa ketika menunaikan umrah di Makkah baru-baru ini adalah dipermudahkan hasratnya untuk mendirikan rumah tangga.
Nelydia atau nama sebenarnya, Nik Zaris Nelydia Nik Sen%2S 24, berkata, dia berdoakan agar diberi petunjuk dalam setiap keputusan yang bakal diambil untuk berkahwin pada tahun ini.
"Kalau doa saya dimakbulkan Insya-Allah saya ingin berkahwin tahun ini, saya berdoa agar dipermudahkan urusan tersebut kalau ia betul dan kalau bukan jodoh juga saya minta dipermudahkan.
"Selepas balik ini pun masih berdoa diberikan petunjuk itu,” ujarnya kepada mStar Online.
Nelydia berharap niat berkahwin tahun ini dipermudahkan.
Nelydia menunaikan ibadah umrah bersama keluarganya selama dua minggu sejak 26 Disember lalu.
Pelakon drama Cinta Tiada Ganti ini menjalinkan hubungan cinta dengan ahli perniagaan yang dikenali sebagai Hafiz pada April tahun 2018.
Nelydia berkata, perancangan untuk menamatkan zaman solo pada penghujung tahun lalu tidak kesampaian berikutan jadual kerja yang padat.
"Sepatutnya kami rancang untuk berkahwin hujung tahun lalu tapi mungkin belum masa lagi sebab itu tak jadi.
"Tahun lalu jadual sibuk dengan penggambaran drama," ujarnya.
Sementara itu, Nelydia berkata, dia tidak mahu berkongsi lanjut tentang perkara itu selagi belum benar-benar pasti.
Katanya, dia akan mendedahkan tarikh perkahwinannya kepada umum jika sudah membuat persiapan sebanyak 80 peratus.
"Saya belajar daripada pengalaman sebelum ini dan sebab itu saya tidak mahu berkongsi banyak selagi ia belum pasti.
"Saya takut bila orang bercakap dan bertanya tentang itu menjadikan saya tertekan. Insya-Allah tahun ini dan saya akan beritahu nanti," ujarnya.