Gaun PGL versi Ernie Zakri dikecam




Lumrah menjadi seorang selebriti, hampir setiap gerak-geri pasti akan menjadi perhatian serta perbualan masyarakat biarpun jika difikirkan secara logiknya, ia bukanlah suatu isu besar.

Baru-baru ini, penyanyi Ernie Zakri turut mengalami situasi yang sama apabila gaun merah yang disarungkan semasa persembahan pentas akhir Mentor 7 sebagai artis jemputan telah mengundang kecaman peminat apabila berkongsi penampilannya menerusi Instagram.

Isunya adalah persalinan serba merah rekaan Amaze Altier tersebut dilihat seperti mencolok mata biarpun Ernie cuba menepati konsep tradisional dengan pending pada bahagian pinggang dan lengan ketika mendendangkan lagu berjudul Bagaikan Sakti nyanyian asal Datuk M. Nasir dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Bahagian dada gaun tersebut pula kelihatan seperti korset menyebabkan Ernie seolah-olah berkemban dan sengaja menampakkan bentuk baju dalam yang dipakai kepada umum biarpun

Mengambil langkah selamat, Ernie yang juga pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-32 bertindak menutup ruangan komen pada foto yang dimuat naik di laman Instagram agar kecaman tidak berlarutan.

Bilakah Ernie sedar bahawa gaun yang dipakai menerima kritikan pedas daripada peminat?

ERNIE : Rasanya perkara itu disedari kira-kira setengah jam selepas saya memuat naik foto tersebut di laman Instagram.

Pada mulanya tiada komen yang terlalu kasar atau negatif, namun lama-kelamaan keadaan bertambah teruk. Bagi mengelakkan isu ini berpanjangan, jadi saya ambil keputusan untuk menutup ruangan komen.

Lagipun saya juga manusia, ada juga sebahagian kata-kata mereka yang mengguris hati dan saya bimbang andai saya bertindak di luar batasan jika tidak berjaya lagi mengawal perasaan marah. Lebih baik saya tidak membaca terus komen-komen negatif tersebut.

Mengapakah anda tidak memadamkan sahaja gambar tersebut?

Bagi saya, baju itu tidak salah dan saya menyukainya, malah menghargai kerja keras pereka fesyen yang bersusah payah menjahitnya untuk saya.

Konsep baju saya pada malam itu adalah korset seperti dalam filem Puteri Gunung Ledang (PGL), jadi memang begitulah hasilnya, Malah pada saya, ia sudah cukup sopan kerana tiada bahagian yang jarang atau seksi biarpun jika mengikut fesyen PGL, persalinannya hanya berkemban.

Sejujurnya, adakah anda seorang yang teliti berhubung fesyen atau menyerahkan sepenuhnya pada pereka yang dipercayai?

Saya memang seorang yang ada pilihan dan cita rasa tersendiri apabila berkaitan dengan fesyen atau penampilan diri. Prinsip saya, selagi fesyen tidak keterlaluan dan tidak mengaibkan nama sendiri dan keluarga, itu sudah memadai.

Namun saya sedar, sebagai seorang artis, kita perlu bersedia dengan apa sahaja kemungkinan. Kadang-kadang bukan hanya pemakaian, jika masyarakat tidak senang dengan cara kita makan pun, pasti akan dikecam.

Adakah ini kali pertama anda menerima kecaman berhubung fesyen?

Ya, ini pertama kali dan saya agak terkejut kerana memang tidak fikir gaun itu akan mengundang perasaan tidak elok (tertawa).

Kecaman itu agak pelik tetapi sebagai artis, saya ambil tanggungjawab dan tidak menyalahkan sesiapa. Mungkin pada pandangan saya ia sudah cantik tetapi buruk pada persepsi peminat. Tidak mengapalah, saya terima selera kita semua berbeza-beza.

Apakah pengajaran yang anda terima daripada insiden berkenaan?

Saya pastinya akan lebih berhati-hati dalam berfesyen, namun tidaklah sehingga perlu memuaskan hati semua pihak. Saya sedar masyarakat kita agak sensitif dalam soal pemakaian, jadi saya akan lebih peka. Saya juga akan lebih teliti dalam memilih foto mana yang akan dimuat naik di media sosial supaya isu seperti ini tidak berulang.

Post a Comment

Previous Post Next Post