Dilihat pincang tetapi bahagia Alyah




Tempoh dua dekad bergelar anak seni, pemilik nama sebenar Hasliah Abu Hasan, 37, mengakui dirinya terperangkap antara prinsip kendiri dan tuntutan pasaran tempatan.

Kebanjiran pendatang baharu ditambah pula peralihan selera pendengar, memaksa Alyah bergelut merencana strategi untuk kekal relevan dalam industri.

Lima tahun juga dia terpinggir dalam radar industri dan tempoh tersebut hampir sahaja membuatkan pelantun lagu Jutaan Purnama itu mengundurkan diri daripada arena seni suara.

Ironinya, memegang status sebagai isteri kepada maestro muzik tersohor, Datuk Ramli M.S, dia sedikit pun tidak mempergunakan kelebihan berkenaan demi kelangsungan kerjaya.

Tegas Alyah, muziknya adalah karya yang perlu dihormati, bukan dipergunakan semata-mata kerana mengejar populariti.

“Saya telah berada dalam industri sejak lebih 18 tahun. Saya juga bertapak bukan dalam kelompok popular.

“Saya diadili para juri profesional seperti Manan Ngah, Johari Ariffin untuk menembus dalam bidang ini. Apabila diadili dan diberi kepercayaan oleh mereka yang profesional, saya tidak boleh mempersia-siakan kepercayaan mereka,” tutur Alyah memulakan bicara.

Menurut Alyah, biarpun hampir dua dekad memegang gelaran sebagai penyanyi, dia masih gagal meneka selera pendengar masa kini.

Kebanjiran pendatang baharu dengan jolokan ‘Budak Baru Nak Up’ (BBNU) turut memberi kesan terhadap penerimaan pendengar.

Sebelum kehadiran Jutaan Purnama yang kembali memanaskan namanya, Alyah ada mengeluarkan beberapa single

“Sekitar lima tahun lalu saya ada mengeluarkan lagu yang tidak disedari peminat dan pendengar. Untuk sebuah lagu pelaburannya mencecah ribuan ringgit.

“Saya menghasilkan setiap lagu dengan teliti termasuk klip video. Semua kos menggunakan duit poket sendiri. Apabila ia tidak diterima, sudah tentu rasa hampir putus asa,” luahnya.

Alyah bagaimanapun enggan berpaling tadah dengan muzik yang dibawa sejak dua dekad lalu semata-mata memenuhi kehendak pasaran.

Katanya, setiap produk adalah identiti diri dan penghargaan terhadap setiap pengkarya yang terlibat.

Tatkala hampir memperlahankan rentak dalam industri, lamaran Warner Music sekitar penghujung 2017, diterima sebagai taruhan terakhir.

Berada bawah syarikat rakaman gergasi dengan pengurusan lebih efektif, setiap proses promosi diselenggara dengan baik oleh Warner Music.

“Selama ini saya menguruskan kesemuanya sendiri termasuk mempromosikan lagu. Selepas berada bawah Warner Music, saya banyak mempelajari ilmu baharu terutama strategi pemasaran.

“Media sosial merupakan medan utama masa kini. Saya banyak mendekati peminat menggunakan medium seperti Instagram. Saya juga mula membuat persembahan di universiti. Alhamdulillah, masih ada yang mengenali saya,” ujarnya yang bakal tampil dengan lagu baharu tahun ini.

Material baharu

Usai momentum baik yang diterima daripada Jutaan Purnama, akan datang Alyah bergandingan dengan Helen Yap dan Omar K menerusi single baharu.

Single yang akan dilancarkan sekitar Januari ini atau Februari depan mengekalkan identiti Alyah sebagai penyanyi lagu berentak balada.

Bertajuk Meluruh, single yang turut menerima sentuhan Alyah tersebut bercerita tentang kepayahannya sepanjang meneruskan perjuangan sebagai anak seni.

Katanya, Meluruh adalah sebuah karya yang boleh dihayati oleh pelbagai lapisan masyarakat terutama mereka yang berdepan rencam cabaran berumah tangga.

“Lagu ini amat istimewa. Saya mendapat ilham menghasilkan lagu ini ketika sedang memandu. Ketika itu hujan lebat.

“Saya segera merakamkan melodi berkenaan sebelum diberikan kepada Omar K untuk disusun dan digarap sebagai sebuah lagu,” katanya.

Kongsinya, rakaman lagu berkenaan turut memerlukan kestabilan emosi yang tinggi demi memastikan sebuah penyampaian berkesan.

“Emosinya sarat. Saya perlu menyanyikan lagu ini dengan emosi yang stabil supaya tidak mengganggu lontaran vokal,” jelasnya.

Sering kali menampilkan hero kacak, Remy Ishak dalam klip videonya, Alyah mengunci mulut saat ditanya soal pemilihan pelakon seterusnya dalam klip video Meluruh.

“Klip video telah dirakamkan dan pelancaran nanti akan dilakukan serentak dengan lagu. Selebihnya kita tunggu,” selorohnya.

Suami dan zuriat

Menyentuh sedikit mengenai kehidupan luar daripada dunia selebriti, Alyah sekadar tersenyum apabila diajukan soalan mengenai kisah rumah tangganya bersama Ramli M.S.

Tidak mudah melatah, Alyah hanya berkata, rumah tangganya berada dalam fasa bahagia biarpun kelihatan pincang pada mata umum.

Akuinya, dia pelik dengan sikap segelintir masyarakat yang cuba mengaturkan kehidupan perkahwinannya sehingga ada beranggapan perkahwinannya bersama Ramli tidak akan bertahan lama.

“Bergaduh dalam rumah tangga adalah perkara biasa Tetapi tidaklah sampai tahap kami akan bercerai-berai. Itu tanggapan orang luar. Saya masih sayangkan rumah tangga kami,” getusnya.

Dedah Alyah, di sebalik imej bengis Ramli, suaminya itu gemar memasak di rumah dan sangat menyayangi kanak-kanak.

“Datuk (panggilan untuk Ramli) tidak banyak kerenah. Hal memasak dia lagi pakar daripada saya. Satu perkara mengenai Datuk yang membuatkan saya kekal bersamanya adalah kasih sayang,” kongsinya dengan wajah penuh senyuman.

Katanya, Ramli seorang yang suka berterus terang sekiranya terdapat perselisihan faham dan selesa dengan pendekatan sebegitu.

“Datuk, kalau hari ini dia marah, esok dia dah okey,” kata Alyah.

Memasuki enam tahun usia perkahwinan, Alyah tidak dapat menyembunyikan perasaan ingin bergelar ibu.

Mengaku pernah menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) sekitar awal tahun lalu, hasrat tersebut bagaimanapun terpaksa ditunda seketika.

“Datuk tiada paksaan. Dia sudah mempunyai dua orang anak. Sebagai wanita, naluri dalaman membuatkan saya mahu bergelar ibu,” katanya.

Tambahnya, pakar perubatan telah menyarankannya untuk memperlahankan kerjaya sekiranya mahu meneruskan rawatan.

Alyah berkata, dia terpaksa berhenti daripada dunia nyanyian kira-kira setahun demi memastikan rawatan itu berjaya.

“Ketika saya menyatakan hasrat untuk melakukan rawatan IVF, suami memberikan sokongan penuh. Tetapi daripada satu sudut, saya melihat dia tidak mahu saya sakit.

“Dia hanya perlu menjalani satu sesi rawatan, selebihnya saya seorang. Jika saya sanggup, dia akan memberikan sokongan,” tutup Alyah.

Tiada jalan pintas untuk berjaya, Alyah terus utuh merencana perjalanan kerjaya dengan penuh berhati-hati demi kekal lebih lama dalam industri.

Post a Comment

Previous Post Next Post