Faye dedah ada pihak cuba menyekat rezekinya dalam bidang lakonan.
Pelakon Faye Kusairi mendedahkan ada pihak yang busuk hati mencuba untuk menutup periuk nasinya dalam industri seni.
Faye atau nama sebenarnya Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, 33, berkata dia menyedari perkara itu namun mengambilnya secara positif.
Namun Faye bersyukur masih ada tawaran berlakon biarpun watak yang diberikan hanyalah sedikit dan mahu kembali aktif selepas dua tahun tidak muncul dalam mana-mana drama.
"Saya ada rasa dan ada la bersuara sana sini bercerita. Maklumlah, industri kita kan kecil. Tapi itulah kehidupan.
"Tapi Alhamdulillah, lega dan seronok bercampur bersyukur masih ada tawaran untuk saya walaupun watak itu sikit dan menyampahnya banyak.
Faye bakal muncul dalam drama Setelah Cinta Itu Pergi.
"Saya dah lama tak berlakon, rasanya kurang dari dua tahun dan tahun ini memang saya fokus nak aktif semula dalam bidang lakonan dan permotoran," katanya kepada mStar Online.
Faye diminta mengulas mengenai statusnya di laman sosial yang memberi gambaran seakan-akan ada pihak cuba menyekat rezekinya dalam bidang lakonan.
Malah, Faye turut memuat naik video drama terbaharu lakonannya bertajuk Setelah Cinta Itu Pergi yang akan ditayangkan bermula 17 Januari ini.
Drama arahan Heykal Hanifah itu akan bersiaran menerusi slot Samarinda, TV3 pada Selasa hingga Khamis pukul 10.30 malam.
Manakala Faye akan menyertai Asia GT Festival sebagai pembantu pelumba yang akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang bermula 16 Mac depan.
Faye bersama anak dan suaminya.
Dalam pada itu, pelakon filem Tombirou: Penunggu Rimba ini mahu mendedahkan anaknya, Alif Azmi dengan arena permotoran dan permainan badminton.
"Saya nak bawa Alif ke Litar Sepang nanti. Sebab ramai orang nak jumpa dia. Lagipun, saya nak dedahkan dia dengan arena permotoran.
"Selain itu, bila saya nak main badminton pun saya akan bawa dia sekali. Biar dia biasa dengan aktiviti sukan," ujarnya.
Faye dan pengarah Azmi Hatta berkahwin pada 9 April 2017 dan selain meraikang ulang tahun perkahwinan, pasangan ini juga menyambut kelahiran cahaya mata pertama mereka pada hari yang sama iaitu 9 April 2018.