Skeptikal identiti Jason Momoa




Sekitar dua tahun lalu, aktor bertubuh kekar Jason Momoa menembusi layar perak Hollywood dengan watak Arthur Curry atau Aquaman dalam Batman vs Superman: Dawn of Justice, sebelum setahun kemudian, watak itu dikembalikan dalam naskhah Justice League.

Hanya mengambil masa dua tahun, kehadirannya dalam dunia adiwira Barat semacam suatu penantian mengujakan. Aktor berusia 39 tahun itu pantas dikategorikan sebagai hero sempurna pada mata peminat.

Bersandarkan sosok fizikal ideal seorang adiwira dan raut wajah seimbang antara bengis dan kacak, aura itu tumbuh secara semula jadi dalam diri Momoa.

Portal GC menyifatkan kemunculan Momoa selaku adiwira adalah suatu penantian buat rakyat negara Uncle Sam kerana berjaya memecah tembok sensitiviti diskriminasi pelakon lelaki, berhubung warna kulit dan asal-usul keluarga.

Bercerita tentang penglibatannya dalam naskhah Aquaman arahan James Wan, Momoa jelas berbangga kerana mengungguli watak besar dalam salah sebuah siri adiwira dunia.

Tambahan pula, Aquaman atau Arthur Curry sangat dekat dengan kehidupan realiti Momoa atau nama lengkapnya Joseph Jason Namakaeha Momoa yang dilahirkan di kepulauan Hawaii, Amerika Syarikat.

“Saya sangat bangga kerana dapat mewakili penduduk kampung, orang Hawaii.

“Meskipun saya berdarah campuran, tetapi ia sesuatu yang menakjubkan (dapat memegang watak adiwira),” katanya teruja membuka perbualan.

Terpilih membawa peranan hero bukanlah satu hal mudah yang boleh diraih mana-mana aktor. Selain perlu menelan kritikan peminat setia naskhah adiwira Barat, ada banyak ‘syarat’ lain yang perlu dilalui seseorang pelakon untuk melepasi kelayakan tersebut.

Budak Hawaii

Berdarah kacukan Amerika-Jerman-Ireland dan lahir sebagai seorang bukan berkulit putih sering membuatkan Momoa berdepan dengan skeptikal bangsa dan warna kulit. Disebabkan itu, pernah timbul kritikan bahawa dia diberi tawaran Aquaman semata-mata berbekalkan faktor keperibadiannya yang dilihat hanya sesuai membawakan watak tipikal sebegitu.

“Ia watak yang sangat hebat. Bermula hidup bersendirian, Arthur berubah menjadi seorang raja. Ceritanya sangat indah kerana mewakili dua sisi iaitu Aquaman dan Arthur Curry.

“Saya ada Aquaman dalam diri dan tidak perlu pergi jauh untuk mencarinya. Saya mahu peminat Aquaman bangga walaupun sedar, ada segelintir yang mungkin tidak sukakannya.

“Jadi, itulah tugas saya untuk menjadikan dia lelaki yang hebat. Awalnya, memang risau ada yang tidak sukakan saya, tetapi setakat ini maklum balas peminat sangat baik,” ujarnya bangga.

Jika dalam Aquaman, watak Arthur merupakan separuh manusia darat dan Atlantis serta mesra dengan lautan, hakikatnya dalam dunia realiti, ia sebenarnya sangat mirip dengan Momoa yang membesar di kepulauan.

Dia dilahirkan di Norwalk, Iowa namun kemudian berpindah dan membesar di Hawaii. Ibunya berdarah campuran Jerman dan Ireland serta berketurunan Amerika asli, sementara bapanya pula merupakan penduduk asal Hawaii.

Mengimbas pengalaman semasa membesar, ada banyak kisah duka melingkari sejarah silam kehidupan lelaki dengan ketinggian 193 sentimeter itu yang tidak semuanya indah.

Momoa dibesarkan oleh ibu dan neneknya dalam keadaan yang cukup sederhana. Bagaimanapun, kisah perit tersebut telah menghadiahkan satu perasaan luar biasa untuk Momoa mengagumi hati kental seorang ibu.

“Dia adalah adiwira sebenar. Dia membesarkan saya sendirian dan situasi itu membuatkan saya emosional apabila mengenangkan pengorbanan yang dilakukan,” imbasnya.

Momoa kini berbangga kerana di sebalik kisah sedih yang dilalui, dia mampu mengaplikasikan pengalaman membesar di Iowa untuk menjelmakan Aquaman. Sebagai pengarah Aquaman, James Wan pula telah memberikannya peluang mengaitkan pengalaman hidup dengan watak Arthur.

“Sewaktu di Iowa, saya tidak bermain permainan tipikal seperti kanak-kanak lain. Apa yang saya gemar lakukan adalah perkara luar biasa untuk seorang kanak-kanak iaitu bermain papan luncur dan memanjat tembok.

“Apabila kembali ke Hawaii, saya pernah dihina dan tidak diterima kerana berdarah campuran.

“Jadi, setiap pengalaman telah memudahkan saya mendalami watak Arthur kerana kami serupa. Tidak diterima di sini ataupun di sana,” katanya penuh makna.

Sewaktu menjalani penggambaran Aquaman, Momoa banyak melakukan sendiri aksi lasak termasuk babak berlawan di dalam air dengan badannya diikat menggunakan gulungan wayar.

“Terlalu banyak babak aksi dan ada antaranya yang saya tidak biasa lakukan. Biarpun ada dua orang pelakon lagak ngeri, tetapi untuk bahagian yang saya suka, saya lakukannya sendiri.

“Namun, saya akui Aquaman menyedarkan saya tentang satu perkara. Melakukan babak aksi sangat mencabar. Mungkin kerana saya sudah semakin tua,” selorohnya.

Menyelak sisi peribadi Momoa, bapa kepada dua cahaya mata dan suami kepada pelakon Lisa Bonet itu sememangnya seorang yang gemar dengan aktiviti lasak, antaranya sukan permotoran.

Namun ketika berbicara lanjut tentang karier lakonan, Momoa sebenarnya mempunyai misi yang jauh lebih besar daripada sekadar bergelar pelakon.

Impiannya, dia mahu menjadi seorang anak seni yang tahu mengembangkan bakat dalam cabang dan tidak hanya membuat kerja di hadapan kamera (berlakon), kemudian pulang ke rumah dan mengulangnya setiap hari.

“Semua orang fikir saya gila, tetapi saya ada impian untuk buat banyak perkara lain, bukan sekadar berlakon. Saya mahu menulis, mengarah dan menerbitkan filem. Sekarang saya sudah ada impian gila itu.

“Fizikal dan rupa saya tidak sesuai untuk semua watak. Jadi, saya mahu menjadi tukang buat cerita dan mengambil bahagian dalam keseluruhan sesebuah filem,” ujarnya yang pernah menjadi pengarah sebuah filem berjudul Road To Paloma.

Skeptikal

Sebelum bergelar pelakon menerusi drama bersiri Baywatch Hawaii (1999), setahun sebelum itu Momoa terlebih dahulu merupakan model peragaan apabila bakatnya ditemui pereka fesyen antarabangsa, Takeo Kobayashi.

Dia kemudiannya semakin kerap menerima tawaran sehingga berjaya membintangi beberapa siri televisyen, antaranya North Shore (2004-2005), Johnson Family Vacation (2004) dan Stargate: Atlantis (2005-2009). Bermula dengan siri televisyen, kerjaya Momoa berkembang apabila membintangi naskhah besar yang melonjakkan namanya.

Momoa pernah membintangi filem Conan The Barbarian (2011) selain membawa watak ikonik Khal Drogo dalam siri popular HBO, Game of Thrones.

Di belakang pengalaman tersebut, seperkara tentang Momoa yang mungkin tidak diketahui ramai, dia pernah bergelut dengan skeptikal warna kulit dalam lapangan industri.

“Saya pernah hadir ke sesi uji bakat filem Batman tetapi hampir membatalkan niat itu kerana ragu-ragu.

“Dalam fikiran saya ketika itu adalah watak Batman sememangnya berkulit putih, sedangkan saya tidak. Kalau saya pergi, ia sama sahaja seperti orang Amerika cuba memegang watak James Bond,” tutupnya.

Aktor bertubuh kekar, Jason Momoa yang berasal dari kepulauan Hawaii, Amerika Syarikat menjadikan pengalaman membesar di Iowa sebagai pengaruh untuknya menyelami watak Arthur Curry yang juga adiwira Aquaman yang bergelut dengan kehidupan ketika di daratan dan di lautan.

Post a Comment

Previous Post Next Post