Lan Solo bergabung dengan bekas anggota Kristal




Dari kanan Amai, Ejan, Lan, Ainol dan Ezan pada sidang akhbar Lan Solo Next Level Showcase di Subang Jaya, sebentar tadi.

Penyanyi Lan Solo memilih untuk bergabung dengan bekas anggota asal kumpulan Kristal menerusi penganjuran Lan Solo Next Level Showcase yang akan berlangsung pada 2 Mac tahun depan.

Persembahan yang akan diadakan di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), di sini bermula pukul 8 malam itu menampilkan lima anggota asal Kristal iaitu Ainol, Ezal, Ejan, Amai dan Joe.

Menurut Lan atau nama sebenarnya Mohd. Razlan Mohamed Yusof, 33, idea mengadakan persembahan mula timbul ketika kelima-lima rakannya itu menghubunginya selepas dia membuat keputusan menarik diri daripada Kristal setahun lalu.

"Impian untuk buat persembahan memang sudah lama saya simpan tetapi apabila jodoh bersama kumpulan lama tidak panjang, saya rasa ia perlu diteruskan juga.

"Mereka inilah antara orang terawal yang bertanya khabar saya selepas menarik diri daripada Kristal. Dari situ muncul idea mengapa tidak saya ajak mereka buat persembahan memandangkan permintaan peminat untuk melihat saya bergabung dengan bekas anggota asal sangat tinggi," katanya yang ditemui pada sidang akhbar Lan Solo Next Level Showcase di Subang Jaya, sebentar tadi.

Tambah Lan, pada persembahan itu nanti, dia akan menyampaikan lebih daripada 20 buah lagu termasuk Seragam Hitam, Delaila, Luahan Hati, Resam Pak Belalang, Berpisah Tanpa Rela dan Twist Abang Sayang.

"Persembahan akan dibahagikan kepada beberapa segmen. Ia sebenarnya lebih kepada perjalanan cerita saya sepanjang bergelar anak seni bermula dengan band sehinggalah kepada solo.

"Jadi saya mahu persembahan ini nanti menjadi penanda aras atas kemampuan saya sebagai seorang penyanyi sekali gus menjadi platform untuk saya muncul dengan sebuah persembahan berskala lebih besar nanti," katanya.

Tiket Lan Solo Next Level Showcase dijual pada harga RM88, RM99, RM129 dan RM149.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi nombor 011-1699 6610 atau ikuti laman sosial Facebook Lan Solo atau Instagram @lansolo_official.

Post a Comment

Previous Post Next Post