
Berbaki tidak sampai setengah bulan, tahun 2018 bakal menjadi lipatan sejarah tersendiri buat empunya nama Izzue Islam.
Ironi, seiring kalendar 2019 kian menguak tirainya, Izzue sedang bahagia menghitung detik untuk mengatur hari muka.
Dia optimis dan bulat hati untuk meneruskan karier nyanyian secara solo, meskipun tidak lagi menyarung nama Forteen dalam kamus hidupnya.
Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Muhammad Izzul Islam Mazlan itu tidak mengemis penerimaan orang ramai terhadap lagu-lagunya, pada masa sama dia juga sedar di mana tahap vokalnya.
Namun penyanyi berusia 28 tahun itu, mahu peminat ‘sebenarnya’ terpasak hati dan terhibur dengan minatnya yang satu itu (nyanyian).
“Saya akui ramai yang meminta saya fokus pada bidang lakonan sahaja dan memberi bermacam-macam komen mengenai suara saya.
“Saya akui suara saya tidak hebat. Sekadar boleh menyanyi sahaja. Namun, nyanyian sudah menjadi minat dan kepuasan saya. Saya juga sedar masih ramai peminat yang mahu dengar saya menyanyi. Bagi yang tidak suka, saya terima dengan hati terbuka,” luah Izzue yang tidak akan meletakkan noktah pada karier nyanyiannya.
Lelaki berwajah kacak ini juga tidak menolak untuk jadi versatil dan tetap meneruskan karier lakonan dan terbaharu mengaut beberapa tawaran pengacaraan.
Tetap teguh
Diminta untuk merumuskan tahun 2018, pemenang Pelakon Harapan Lelaki, Festival Filem Malaysia ke-25 menerusi filem 29 Februari itu mengakui, 2018 sebagai tahun yang penuh emosi.
“Pelbagai perkara besar terjadi dalam hidup saya pada tahun ini. Keluar kumpulan Forteen adalah salah satu daripadanya. Memang saya akui perkara itu memberi impak besar kepada saya, sementelah kami sudah berkawan selama tujuh tahun.
Mujur pergaduhan antara saya dan ahli kumpulan Forteen yang lain tidak berlarutan lama. Kami sudah berbaik dan masih menghubungi antara satu sama lain sehingga kini,” ujar Izzue dengan nada kelegaan.
Hakikatnya, emosi yang membadai Izzue bukan sedikit tatkala mengambil keputusan untuk keluar daripada kumpulan berkenaan.
Ternyata banyak peluru nista yang dilemparkan kepadanya dan isteri, Awin Nurin menerusi berita yang keluar menerusi di internet.
Melihat kelibat wanita kesayangan yang menjadi separuh jiwanya setia menunggu tatkala sesi temu bual dan fotografi berlangsung, Izzue dengan tegas menjelaskan, semua yang berlaku adalah atas kehendak dirinya sendiri.
“Sejujurnya, memang saya banyak terasa hati dengan komen-komen yang ditulis sesetengah netizen.
Saya tidak faham kenapa orang salahkan Awin yang menjadi punca saya keluar Forteen. Sedangkan, ia adalah keputusan daripada saya sendiri,” jelas Izzue yang masih tenang meluahkan rasa biarpun hatinya dirundung rawan.
Begitulah, sekerap dan sedalam mana pun khalayak cuba mengecam pasangan tersebut, namun mereka berdua itu tetap teguh.
XX-Ray 3
Meskipun bersulam kontroversi, namun Izzue masih laku menerima tawaran lakonan dan pengacaraan.
Mengulas mengenai hal itu, kata Izzue, untuk tahun ini dan 2019, dia menerima beberapa tawaran pengacaraan seperti program Wira Remaja untuk RTM, menjadi hos untuk program Resipi Rezeki, melakukan lawak spontan untuk program Super Spontan dan membintangi sekual filem sains fiksyen terkenal, XX-Ray 3.
Pelakon berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu menilai watak utama dalam filem XX-Ray 3 yang bakal ditayangkan pada 24 Januari tahun hadapan itu sebagai sesuatu yang baharu buatnya.
Ironi, watak Rayyan memaksa Izzue menjadi orang yang jauh berbeza dengan perwatakan sebenarnya.
“Watak dalam filem berkenaan menuntut saya mengkaji pasal bintang dan makhluk asing. Walaupun Rayyan tidak mempunyai sebarang kuasa, saya perlu menghafal dialog yang panjang tentang fakta bintang supaya penonton benar-benar percaya bahawa Rayyan pakar dalam mengkaji bintang,” ujarnya mengenai filem yang turut dibintangi oleh Nonny Nadirah, Saiful Apek, Datuk Jalaluddin Hassan dan Datuk Rahim Razali itu.
Umrah dan anak
Melestarikan apa yang diperoleh pada 2018 ke tahun 2019, Izzue juga berhasrat untuk mengembangkan dua bisnesnya iaitu Izzuexclusive dan Lookalike.
“Barangkali peminat tidak tahu mengenai produk Lookalike milik saya kerana ia tidak tertera nama Izzue untuk nama produk berkenaan. Padahal produk berkenaan sudah berada di pasaran selama dua tahun,” jelas Izzue.
Seperti banyak rencana yang berputar di dalam kepalanya, Izzue tidak pernah melupakan keinginan yang selama ini tersimpan kemas dalam hatinya, yakni memiliki cahaya mata.
Maka untuk itu, Izzue turut menyimpan keinginan untuk menunaikan umrah bersama Awin pada tahun depan.
“Sebelum ini, memang ada keinginan untuk mengerjakan umrah, namun tiada rezeki untuk pergi. Insya-Allah, pada 2019, hasrat untuk berdoa di depan Kaabah agar dikurniakan cahaya mata termakbul,” jelasnya tanpa berselindung mengenai keinginan untuk beroleh anak setelah lima tahun berkahwin.