
Bukan mudah menjadi seorang selebriti. Jika tersilap percaturan, mahu sahaja karier yang diperjuangkan selama ini, hancur lebur sekelip mata.
Justeru, setiap anak seni harus tahu bagaimana untuk kekal relevan dalam industri hiburan lebih-lebih lagi industri penuh pancaroba ini. Masakan tidak, penyanyi dan pelakon baharu datang silih berganti saban hari.
Ketika ditebak persoalan itu kepada penyanyi berbakat Ismail Izzani Zainal Nazeri, ternyata anak muda yang berusia 18 tahun berkenaan memiliki jawapan tersendiri mengenai perihal tersebut.
“Saya akan kekal menjadi diri saya dan sentiasa melakukan yang terbaik untuk diri sendiri.
“Insya-Allah, saya tidak akan terpedaya dengan orang, maksudnya saya tidak akan menurut apa sahaja kata orang. Ini kerana, bagi saya dalam bidang muzik, adalah lebih baik sekiranya sesebuah idea itu datangnya daripada diri kita sendiri. Selebihnya, segala apa yang tidak pasti, kita boleh berkongsi pendapat dengan pengurusan dan ibu bapa,” ujarnya.
Tampil dengan dua buah tangan terbaharu iaitu Bidadari dan Save Me dalam tempoh terdekat, keberanian jejaka berasal dari Ampang, Selangor itu wajar dipuji.
Bukan apa, jarang-jarang sekali seseorang penyanyi itu mempertaruhkan dua lagu baharu dalam jarak waktu yang dekat.
“Bagi saya, pengenalan lagu Save Me adalah satu eksperimen. Saya keluarkan lagu itu pada tahun ini untuk mencuba sesuatu berbeza dan dalam masa sama, saya rasa ia masa sesuai untuk keluarkan kedua-dua lagu tersebut.
“Kedua-dua lagu itu istimewa di hati saya dan terkandung mesej positif yang tersendiri. Bidadari lagu kegemaran saya kerana ia ditujukan khas kepada ibu saya, manakala Save Me pula ditujukan kepada diri sendiri yang mana ia berkisarkan tentang seseorang yang telah melakukan kesilapan,” jelasnya yang memberitahu, kedua-dua buah tangannya itu mendapat sambutan luar biasa.
Menyambung bicara, Ismail turut bercerita mengenai projek pada 2019. Jelasnya, dia bakal bergandingan dengan penyanyi, Naim Daniel untuk sebuah lagu.
“Kami akan berkolaborasi bersama dan nantikan buah tangan daripada kami berdua. Apa yang pasti, ia sesuatu di luar kotak dan berbeza daripada muzik yang kami perjuangkan selama ini,” ujarnya.