Perginya adiwira sejati Marvel, Stan Lee




Sebut sahaja jenama Spider-Man, X-Men, Thor, Iron Man, Black Panther dan The Fantastic Four, deretan nama adiwira antarabangsa itu bukan sahaja diminati khalayak dewasa, malah kanak-kanak.

Ironinya, di sebalik kehadiran karakter-karakter popular itu, di belakangnya ia adalah lakaran jiwa yang dibangunkan oleh seorang lelaki bernama Stan Lee.

Awal pagi Isnin lalu, seluruh peminat komik dan filem adiwira, Marvel Comics dikejutkan dengan berita pemergian Lee pada usia emas iaitu 95 tahun.

Tentunya, kehadiran Stan Lee dalam industri hiburan boleh dianggap sebagai legenda terkemuka. Sebagai seorang pengarang, penerbit dan penulis komik Marvel Worldwide, setiap karakter yang dicipta Lee bermula dalam komik kemudian difilemkan pasti berjaya meraih kutipan pecah panggung.

Karier
Disahkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Cedars-Sinai, Los Angeles, bagaimanapun punca sebenar kematian Lee tidak dikongsikan oleh anak perempuannya iaitu Joan Celia Lee.

Difahamkan, sejak setahun lalu, keadaan kesihatan lelaki yang sering diundang menjadi pelakon undangan atau cameo dalam naskhah Marvel antaranya filem Doctor Strange dan X-Men itu semakin merosot selepas menderita beberapa penyakit termasuk radang paru-paru atau pneumonia dan masalah penglihatan.

Menyorot kembali, pemilik nama sebenar Stanley Martin Lieber itu lahir pada 28 Disember 1922 di kota New York, Amerika Syarikat (AS). Pada awalnya, Lee sekadar memulakan kerjaya awal sebagai penulis komik berunsur jenayah dan seram di Timely Comics pada tahun 1939.

“Saya bekerja kerana ingin membantu ibu bapa membayar bil bulanan. Saya seorang sahaja yang memohon jawatan tersebut dan berjaya mendapatkannya. Ketika itu saya fikir ia hanya kerjaya sementara.

“Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang penulis komik,” kata Lee ketika ditemu bual sekitar tahun 2011 dahulu.

Pada tahun 1960, nama Timely Comics kemudian ditukar menjadi Marvel Comics dan berjaya bersaing dengan penerbit komik terbesar iaitu DC Comics.

Lee kemudiannya terus membina kerjaya apabila berpadu dengan Jack Kirby pada tahun 1961 bagi mencipta watak The Fantastic Four dan diikuti barisan watak adiwira lain yang popular kini.

Biarpun pernah berputus asa dengan dunia komik ketika usianya mencecah 40 tahun, namun hasil dorongan mendiang isteri, Joan Boocock Lee, lelaki itu terus berkarya sehingga diangkat sebagai pengerusi emeritus dan pernah dianugerahkan Pingat Seni Kebangsaan iaitu anugerah tertinggi pemerintah untuk para seniman kreatif di AS.

Isterinya Joan, bagaimanapun meninggal dunia pada 6 Julai 2017 akibat komplikasi angin ahmar.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif The Walt Disney Company, Bob Iger, menyifatkan Lee sebagai seorang lelaki luar biasa sama seperti karakter ciptaanya.

“Lee seorang lelaki luar biasa seperti karakter yang diciptanya. Dialah adiwira kepada peminat Marvel di seluruh dunia. Lee mempunyai kuasa untuk membawa inspirasi, menghibur dan menghubungkan semua penonton. Skala imaginasi lelaki ini begitu luar biasa,” kata Iger.

Dalam pada itu, pelakon watak adiwira Captain America, Chris Evans turut meluahkan kepiluannya di Twitter atas pemergian legenda itu. Tulisnya:

“Tidak akan ada lagi Stan Lee selepas ini. Selama berdekad, dia mengajar tidak kira orang muda atau tua tentang pengalaman pengembaraan, inspirasi, kekuatan, nilai persahabatan dan hiburan. Dia meninggalkan aura yang tidak akan dilupakan semua orang,” tulis Evans.

Post a Comment

Previous Post Next Post