Haliza Misbun menyifatkan industri kreatif perlu melakukan perubahan dengan tidak lagi meletakkan skeptikal terhadap pelakon berusia sepertinya untuk diberi watak sebagai seorang ibu dalam apa jua naskhah.
Pelakon Haliza Misbun menyatakan pendiriannya untuk tidak berkongsi kepada umum perihal peribadinya, lebih-lebih lagi apabila menyentuh tentang percintaannya bersama seorang lelaki British.
Meskipun mengakui masih berkawan dan akan meneruskan hubungan mereka ke fasa seterusnya dalam masa terdekat, Haliza, 45, bagaimanapun tidak berasakan perkara tersebut sesuatu yang penting untuk dihebohkan kepada umum.
Aktres yang terkenal menerusi drama Cinderella itu juga seboleh-bolehnya mahu kekal hidup dalam misteri dan berharap semua pihak menghormati prinsipnya untuk tidak berbicara soal peribadi.
Ikuti temu bual bersama Haliza ketika ditemui pada majlis sidang media teater perdana Pokok arahan sutradara U-Wei Saari di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Boleh Haliza jelaskan tentang penglibatan anda dalam teater Pokok?
HALIZA MISBUN: Saya menerima tawaran daripada U-Wei Saari sejak beberapa minggu lalu walaupun pihaknya cuba mendapatkan saya lebih awal sebelum itu. Jujur saya katakan, ini adalah tawaran yang tidak boleh dilepaskan sebab peluang berlakon dengan seniman hebat tidak selalu datang. Ini merupakan kali pertama saya berlakon bawah arahan beliau.
Bagaimana pula dengan peranan anda memegang watak sebagai Mardiah dalam Pokok?
Saya menjayakan watak Mardiah. Karakternya sangat feminis dan mewakili suara wanita untuk menjadi lebih berani. Cuma watak Mardiah yang merupakan seorang bekas banduan memberikan cabaran tersendiri sebabnya saya tidak pernah masuk penjara. Namun dari segi kelantangan dan kepercayaan terhadap kuasa wanita, kami serupa.
Dari segi mendekati kehidupan dan keperibadian seorang bekas banduan, saya masih mencari intipati itu. Dalam perancangan, saya ada terfikir untuk mencari dan berkenalan dengan mana-mana bekas banduan untuk membuatkan watak itu lebih berisi dan kaya.
Terlibat dalam naskhah U-Wei yang cukup terkenal dengan karya-karya hebat mungkin memberi tekanan tersendiri kepada anda?
Tekanan itu memang ada sebab beliau seorang pengkarya yang cukup hebat. Bagaimanapun, saya tidak boleh terlalu mengikut perasaan. Inilah waktu dan peluang terbaik untuk saya belajar mengawal emosi.
Ia bukan sahaja tentang lakonan tetapi penglibatan saya dalam Pokok sebenarnya membuatkan saya pikul banyak tanggungjawab dan harapan orang. Pada masa sama juga saya tidak boleh terbuai dengan perasaan takut, jadi apa yang boleh dijanjikan adalah persembahan terbaik mengikut kemampuan diri.
Agak jarang melihat Haliza di kaca televisyen sedangkan ramai pelakon seusia anda masih aktif berlakon meskipun memegang sebagai ibu atau ayah. Boleh jelaskan?
Terus terang, saya tidak mahu bawa watak emak orang. Sebab bagi wanita berusia yang sudah mencecah usia 40 tahun ke atas, ada banyak isu yang boleh diketengahkan kerana kami lebih berwarna-warni dari segi pengalaman dan asam garam kehidupan.
Bukan sekadar diberi watak tipikal seperti emak. Cuba ubah persepsi itu dan ambil contoh teater ini yang mengangkat seorang perempuan berusia 45 tahun sebagai watak utama. Apa salahnya naikkan martabat seorang wanita daripada persepsi lain yang lebih luas.
Pernah juga saya ‘terbabas’ pegang watak emak dalam drama Semusim Rindu, cuma waktu itu saya diberi kelonggaran untuk jadi diri sendiri. Selepas ini saya tidak mahu lagi bawa watak sebegitu.
Baiklah, beralih sedikit kepada perihal peribadi berhubung status anda bersama jejaka British?
Status kami masih berkawan. Insya-Allah akan melangkah ke fasa seterusnya. Mungkin awal tahun depan, saya pun tidak tahu lagi tetapi perancangan memang ada. Cuma pada usia sebegini, masih adakah orang yang berminat untuk ambil tahu perihal saya?
Sekiranya perancangan tersebut menjadi, adakah anda mahu berkongsi perihal berkenaan dengan khalayak atau kekal berdiam diri?
Seboleh-bolehnya, saya cuba menjarakkan perihal kerjaya dan peribadi. Bagi saya, untuk menjadi pelakon yang baik, kita tidak boleh terlalu mendedahkan diri terlalu kerap kepada umum.
Seseorang pelakon perlu ada misteri dan saya mahu jaga misteri itu. Jadi hormatilah pendirian saya untuk tidak mahu mendedahkan siapa bakal suami nanti (ketawa). Kalau kahwin, mungkin saya akan maklumkan tetapi saya tidak rasa ia penting untuk menceritakan kehidupan saya secara terbuka.