Janna Nick Jauh sekali menyokong golongan lesbian




Bukan sekali dua, tetapi berkali-kali nama pelakon, penyanyi dan pengacara, Janna Nick menjadi sebutan pengikut industri hiburan tanah air.

Segala tindak tanduk, kelakuan waima pemakaian anak seni kelahiran Sungai Petani, Kedah itu sekalipun, sering sahaja diperhatikan dan menjadi modal perdebatan dalam sebahagian netizen.

Terbaharu, suhu termometer hangat seketika gara-gara sekeping gambar yang dimuat naik pelakon cantik, Eyka Farhana di laman Instagramnya.

Gambar yang memperlihatkan Eyka dan Janna seperti mahu bercumbu itu mengundang reaksi negatif daripada sesetengah pihak.

Dakwa mereka, gaya yang ditunjukkan Janna dan Eyka itu seperti mempromosikan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Tidak cukup dengan itu, ada juga mengatakan foto itu nampak tidak manis dan mendorong menjadi ikutan orang lain.

Sensasi Bintang cuba mendapatkan komen daripada pelantun lagu Mungkin Saja itu. Di hujung talian, Janna tenang menjawab setiap persoalan.

“Kalau fikir positif, positif lah. Kalau fikir negatif, ia jadi negatif.

“Bagi pandangan saya, mungkin gambar berkenaan kurang sesuai untuk zaman sekarang, kalau dahulu orang mungkin tidak kisah. Bagaimanapun, bagi saya, normal untuk perempuan bergambar begitu, yang tidak normal kalau lelaki,” katanya yang jauh sekali menyokong golongan lesbian dan menunjukkan contoh tidak elok kepada netizen.

Menyedari bukan mudah untuk meminta berjuta-juta rakyat di negara ini dan pengikut laman sosial untuk mempunyai perspektif positif bagi setiap perkara. Justeru, Janna atau nama penuhnya Nurul Jannah Muner, 23, tidak cepat melenting apatah lagi menyalahkan netizen.

“Saya tidak menyalahkan netizen kerana bagi saya, untuk perkara begini, ia mengikut perspektif masing-masing.

“Sekiranya mereka rasa gambar berkenaan seperti lesbian, itu pandangan mereka. Namun, ada juga yang rasa ia hanya sekeping gambar biasa.

“Mungkin juga mereka yang nampak saya dan Eyka itu macam lesbian kerana imaginasi individu yang luar biasa,” ujarnya.

Katanya, gambar itu jika dilihat daripada sudut positif, ia akan nampak kasih sayang dan keakraban sebagai sahabat.

Akur dengan penjelasannya, Janna yang juga merupakan seorang pengacara turut memberitahu, dia kini sedang menjalani penggambaran sebuah drama yang bakal disiarkan di slot Akasia, TV3.

Menerusi drama yang berjudul Bukan Cinta Aku itu, Janna akan bergandingan dengan barisan pelakon yang hebat termasuk Baim Wong dan Syafiq Kyle.

Post a Comment

Previous Post Next Post