
Dua pelakon, Ben Amir dan Sweet Qismina itu antara pelapis anak seni yang semakin meningkat naik namanya. Menariknya, sepanjang penglibatan mereka dalam dunia lakonan, mereka tidak pernah bergandingan berdua bersama-sama dalam satu karya.
Bagaimanapun, buat julung-julung kalinya,Ben, 28, dan Sweet, 21, disatukan dalam web siri berjudul Dua yang bakal menemui penonton tidak lama lagi.
Pastinya, ada yang menarik dalam karya arahan Michael Ang itu apabila kedua-dua mereka menyulam perasaan suka antara satu sama lain.
Minggu ini, Sensasi Bintang berkesempatan menemubual Ben dan Sweet untuk berkongsi cerita mengenai pengalaman mereka bergandingan dalam web siri empat episod itu yang dijangka ditayangkan pada awal tahun depan.
SENSASI BINTANG: Boleh kalian kongsikan mengenai watak kalian dalam Dua?
BEN AMIR: Dalam web siri berjudul Dua ini, saya memegang watak sebagai Daniel. Watak Daniel ini merupakan seorang pereka web. Menariknya, jalan cerita ini memaparkan saya menjadi adik kepada Daniella yang dilakonkan oleh aktres Scha Alyahya.
SWEET QISMINA: Saya pula merupakan seorang pereka fesyen bagi sebuah jenama pakaian iaitu Dua Fashion House. Dalam cerita ini saya diberikan peranan memegang watak sebagai Luna yang juga merupakan adik kepada Amelia lakonan Sharifah Sakinah.
Difahamkan, ini merupakan naskhah sulung kalian digandingkan bersama buat pertama kali. Mungkin ada pengalaman menarik yang ingin dikongsikan?
BEN AMIR: Sebelum ini sebenarnya kami pernah berlakon dalam satu karya yang sama. Cuma pada masa itu, saya dan dia tidak bergandingan sama kerana masing-masing punya jalan cerita yang berbeza. Bagaimanapun, dalam Dua ini, kami berdua barulah berkesempatan untuk bekerja sama dalam satu set bersama-sama. Bahkan dalam cerita ini juga saya pertama kali bekerja dengan Scha Alyahya.
SWEET QISMINA: Sebelum ini pernah berada dalam satu produksi yang sama menerusi drama Cinta Tiada Ganti. Pada masa itu kami tidak ada perbualan babak yang sama. Jadi, kali ini kami bertemu lagi sekali dalam Dua. Pada mulanya, ingatkan dia seorang yang serius, rupa-rupanya, boleh layan satu kepala juga. Jadi senang kami nak bekerjasama.
Dengarnya dalam Dua kalian berdua menjalin hubungan cinta. Bagaimanakah kalian mewujudkan keserasian bersama melakonkan adegan romantik?
BEN AMIR: Walaupun pertama kali kami bergandingan, tetapi apa yang saya boleh katakan, Sweet merupakan seorang pelakon yang ‘memberi’. Sebenarnya dalam babak yang dipaparkan, kami tidaklah banyak babak-babak seperti orang bercinta. Cuma, banyak momen-momen sweet (manis) antara kami. Tidak adalah sehingga melibatkan adegan peluk atau berpegangan. Lebih kepada reaksi muka. Contohnya, bermain dengan pandangan mata antara satu sama lain. Jadi, penonton melihat itu tahu yang kami sebenarnya sudah jatuh hati.
SWEET QISMINA: Ya, betul kami dalam cerita ini kononnya macam sudah jatuh hati. Sebenarnya kami sudah suka antara satu sama lain sejak dari zaman sekolah lagi. Jadi, selepas lama tidak berjumpa, kami bertemu semula tanpa disangka. Jadi, daripada situlah muncul kembali perasaan lama yang pernah ada dengan Ben. Ia tidaklah begitu memerlukan kami nampak romantik, cuma ditunjukkan bibit-bibit kami selesa apabila bersama. Dalam satu sisi lain, kami tonjolkan sisi matang di mana kami tahu bila masa kami perlu serius apabila duduk bekerja dan bercinta.
Adakah kalian bimbang sekiranya apabila orang cuba mengaitkan kalian berdua bercinta jika di luar hanya kerana penangan watak kalian bersama dalam Dua?
BEN AMIR: Orang nak kaitkan saya dengan Qismina? (ketawa). Rasanya kalau orang nak cakap kami bercinta saya tak leh nak buat apa lah. Cumanya, apa yang saya boleh katakan kami memang hanya kawan sahaja.
SWEET QISMINA: Itu hanya dalam cerita sahaja. Kami hanya menjayakan watak semata-mata untuk dalam cerita sahaja. Apapun, saya memang selesa dan serasi berlakon bersama Ben. Dia pun seorang pelakon yang matang. Cuma kadang-kadang kesian tengok dia kena kacau dengan pelakon lain kerana masing-masing sempoi dan kepala gila-gila semasa berlakon.
Kalian berdua merupakan antara nama yang semakin meningkat naik. Bagaimanakah kalian melihat perkembangan karier sebagai pelakon?
BEN AMIR: Alhamdulillah, banyak respons positif yang saya terima mengenai lakonan yang saya bawakan. Sekarang ini semakin ramai yang mula mengenai. Dari dulu sampai sekarang, saya dapat melihat perkembangan karier saya, daripada pelakon ekstra sehingga membawakan watak utama. Gembira dengan perkembangan yang saya alami. Sama ada cepat atau lambat (nama naik) tak penting. Apa yang utama fokus kepada kualiti lakonan.
SWEET QISMINA: Selepas menang Artis Baharu Wanita Popular Anugerah Bintang Popular 2017, saya meletakkan fokus kepada pelajaran. Jadi, agak sukar untuk menerima banyak tawaran pada satu masa. Barangkali atas sebab itu orang sangka saya agak senyap selepas menang. Sekarang ini,saya mengambil penangguhan selama satu semester untuk memberikan fokus kepada tawaran berlakon yang sudah diterima. Disebabkan jadual yang padat sebab itulah saya tangguhkan dulu pengajian seketika. Tahun depan saya akan sambung semula.
Barangkali kalian ada perkembangan lain yang ingin dikongsikan?
BEN AMIR: Sebenarnya, saya sekarang tengah dalam mood bercuti. Saya ambil peluang untuk berehat selama sebulan. Cuma, untuk penggambaran web siri Dua ini hanya memakan masa selama empat hari sahaja, jadi sebab itu saya okey sahaja. Saya merancang untuk bercuti ke Pulau Perhentian, Terengganu dan mungkin ke Sabah, Sarawak, Thailand dan Indonesia bersama-sama kawan. Nak berehat sebelum memulakan kerja semula nanti.
SWEET QISMINA: Insya-Allah, selepas ini saya akan muncul dengan sebuah filem bersama pelakon Syafie Naswip. Kami akan memulakan penggambaran tidak lama lagi. Filem itu bergenre romantik komedi.