Eyra Hazali tidak mudah terpengaruh




Gadis cantik ini melalui fasa daripada kanak-kanak menjadi remaja dan kemudiannya beranjak ke gadis dewasa menerusi drama lakonannya di skrin televisyen. Dia ialah Eyra Hazali.

Mengabdikan cintanya pada seni lakon sejak di usia enam tahun lagi, lebih bermakna, Eyra bukan sekadar berlakon untuk suka-suka. Bukan juga sekadar mengisi watak tempelan.

Dia pernah ‘menyarung’ gelaran Pelakon Kanak-Kanak Terbaik di Anugerah Sri Angkasa 2010, menerusi debut lakonannya dalam Anak-Anak Lorong.

Ironi, di usianya kini 19 tahun, tawaran watak kanak-kanak yang diraih sebelum ini bertukar kepada watak utama dalam drama.

Nama Eyra kemudiannya meledak dalam populasi hiburan menerusi watak Nisa Ardina dalam drama popular, Mr. Grey.

Untuk selebriti Hollywood yang beradaptasi dengan dunia glamor sejak dari kecil, barangkali akan membesar menjadi artis bermasalah. Paling terdekat yang boleh kita kaitkan ialah pelakon Lindsay Lohan. Namun, itu tidak bagi Eyra.

Pemilik nama sebenar Hazirah Qasdina Hazali itu tersenyum malu dengan perumpamaan yang dibuat.

Pada hemat pelakon yang lahir di Hospital Damai, Taman Melawati, Kuala Lumpur itu, dia mengakui tidak mudah terpengaruh dengan gaya hidup kebanyakan gadis-gadis di bandar.

“Sejujurnya, untuk saya terjebak dengan kehidupan sosial bukan senang. Saya bukan jenis yang suka ikut trend seperti mewarnakan rambut atau mencukur bulu kening. Malah, ada kawan-kawan yang mengajak untuk ke kelab juga saya tolak. Apatah lagi untuk berpakaian seksi seperti memakai baju tidak berlengan atau bergaun pendek. Memang pendirian saya begitu, tetapi mommy juga seorang yang garang,” ujarnya seraya melentur tawa di bibir dan berharap dirinya tidak terpesong di kemudian hari.

Cinta pemain bola
Menyuntik aura cinta melalui watak yang dibawa dengan imaginasi dan semangat membara, namun itu semua sifat Eyra tatkala beradaptasi dengan watak yang diberi dalam drama.

Namun, tatkala menyingkap soal hatinya dengan pemain bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Haziq Nazli, 20, Eyra bukan jenis gadis yang suka mencanang bahagia. Cukuplah, bahagia Eyra cuma bertebaran di ruang hatinya.

Biar banyak yang disimpan dalam hati sebagai tanda prinsip diri dan tidak mahu mengejar sensasi, pelakon yang pernah muncul menerusi video klip Anuar Zain iaitu Andainya Takdir itu masih berkongsi jawapan.

“Saya dengan Haziq berkawan rapat. saya tidak mahu ulas banyak. Doa-doakan sahaja. Kalau ada jodoh tak kemana,” ujarnya ringkas.

Antagonis
Tidak berada di zon selesa dengan olahan watak yang sama, Eyra yang bakal muncul menerusi filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda itu lebih selesa bereksperimen dengan pelbagai watak termasuk watak cacat.

“Sebagai pelakon, saya tidak mahu duduk di zon selesa dengan mengolah watak yang sama. Malah, saya pernah menjayakan watak cacat menerusi sebuah drama di usia 10 tahun dan melakukan sehabis baik menerusi watak tersebut. Saya juga tidak kisah andai perlu buruk dalam menjayakan sesuatu watak yang diberikan,” ujarnya yang mengakui suka bermain dengan watak antagonis.

Bagi Eyra, watak sebegitu lebih memberi aura yang memancar dan memberi kesan kepada penonton.

Dan untuk menjayakan watak antagonis, kata Eyra, dia tidak perlu berpakaian seksi. Cukup sekadar dengan bahasa tubuh, intonasi suara dan memek wajah, watak antagonis mampu dijayakan tanpa melanggar norma sebagai anak seni.

“Apabila dapat watak antagonis tidak semestinya kita perlu bergaya seksi. Walaupun pengarah meminta kita mengenakan pakaian seksi, namun sebagai pelakon kita juga ada hak untuk mengatakan tidak.

“Bukan apa, tidak guna juga kalau kita tidak dapat memberikan lakonan sebanyak 100 peratus semata-mata kerana tidak selesa dengan apa yang dipakai,” ulasnya.

Ibu
Ternyata langkah seni pelakon manis ini dijaga molek oleh sang ibu, Qhuzie Mohd. Johari, yang bertindak sebagai pengurus jadual seninya.

Mengakui banyak tawaran datang untuk menguruskan kerjaya seninya, namun Eyra menolaknya kerana berasakan ibu adalah paling sesuai.

“Bagi saya, biarlah duit saya disalurkan pada keluarga terlebih dahulu. Saya kerja untuk famili dan diri sendiri. Maka, daripada beri duit pada orang lain, lebih baik saya beri pada keluarga. Ada juga saham akhirat saya nanti.

“Hal ini kerana saya perhatikan, ada pengurus yang mengaut untung sampai artis tidak ada masa untuk famili. Dalam sehari, ada artis yang terpaksa melakukan beberapa kerja. Takut juga apabila melakukan banyak kerja, secara tidak langsung menyusahkan orang lain,” luahnya menyimpul bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post