Farid Kamil lantik peguam baru




Pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil yang berdepan lima tuduhan kes jenayah, Januari lalu, melantik peguam baharu bagi mewakilinya.

Perkara itu dimaklumkan peguam, Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili Farid pada prosiding di Mahkamah Majistret hari ini.

Peguam itu berkata, beliau akan mengambil alih kes itu daripada peguam sebelumnya, sejak minggu lalu.

Sehubungan itu, Majistret Nor Ariffin Hisham perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini selama enam hari bermula 26 November ini akan diteruskan.

Megat Syazlee ketika ditemui media memberitahu, pihaknya juga sudah menerima semua dokumen berhubung perbicaraan itu.

Sebelum ini, pelakon utama Lagenda Budak Setan berkenaan diwakili peguam Wan Shahril Wan Mamat.

Pada 16 Januari lalu, Farid berdepan empat pertuduhan iaitu mendatangkan kecederaan kepada seorang orang awam dan anggota polis, menghalang anggota polis menjalankan tugas dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kesat di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara jam 1.20 petang, 11 Januari lalu.

Sembilan hari kemudian, Farid Kamil turut didakwa menggunakan dadah berbahaya Tetra Hydrocannibol (THC), iaitu `11-nor -tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid' di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya jam 4.30 petang pada hari sama.

Sementara itu, pada 9 Mac lalu, Farid Kamil didakwa sekali lagi atas pertuduhan mereka keterangan palsu bersabit satu laporan polis dengan memasukkan keterangan tidak benar yang mana laporan itu boleh digunakan dalam prosiding jenayah dan diambil pertimbangan oleh pegawai polis yang menerima laporan itu.

Pengarah filem V3 Samseng Jalanan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur jam 5.54 petang, 31 Januari lalu.

Post a Comment

Previous Post Next Post