Izzue Islam, Forteen berdamai namun tetap dengan keputusan keluar kumpulan




Kumpulan Forteen akhirnya menemui jalan damai apabila Izzue dipertemukan dengan tiga orang ahli lain iaitu One, Ariz dan Amer dalam satu majlis hari ini.

Kemelut dalaman yang berlaku kepada kumpulan Forteen akhirnya menemui jalan damai apabila Izzue Islam dipertemukan dengan tiga orang ahli lain iaitu One, Ariz dan Amer dalam satu majlis di sini sebentar tadi.

Bagaimanapun, Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 28, nekad dengan pendirian untuk mengundurkan diri daripada kumpulan tersebut.

"Kata orang, terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya. Kita semua ada ego masing-masing. Namun pertemuan yang berlaku hari ini, memang ini yang saya mahukan.

"Saya masih tetap dengan pendirian namun tidak menolak kemungkinan untuk kembali bersama Forteen," ujar Izzue.

Tambah Izzue lagi, dia perlu menjernihkan isu di antara mereka sebelum membuat sebarang keputusan.

"Ada beberapa isu yang memerlukan perbincangan antara kami. Saya tiada menyimpan dendam dan sayang dengan kumpulan Forteen.

"Saya berharap peminat mendoakan segala yang terbaik buat saya dan juga Forteen selepas ini. Siapa tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang," kata Izzue.

Sementara itu, One atau nama lengkapnya Mohammad Ridzuan Sharifuddin tidak menahan sebak dan mengalirkan air mata ketika pertemuan berkenaan.

"Tujuh tahun bersama, banyak perkara yang telah kami lalui bersama. Saya tidak sangka pengakhirannya begini dan Izzue keluar daripada kumpulan ini.

v
Izzue dan Forteen akhirnya berdamai.
"Saya hormat keputusan Izzue tapi saya juga mewakili kawan-kawan lain, dia akan sentiasa dialu-alukan untuk menyertai kumpulan ini kembali," jelas One dalam keadaan teresak-esak.

Menjelaskan lebih lanjut berhubung sama ada isu yang terjadi sekarang digunakan sebagai gimik untuk sebarang pelancaran lagu atau produk seni, Izzue mempunyai jawapannya sendiri.

"Kami sudah rakam lagu bersama sejak setahun lalu. Memandangkan sekarang saya tidak lagi bersama Forteen, saya okey andai Forteen merakamkan lagu itu tanpa vokal saya.

"Saya juga bersedia membayar sebarang kerugian berkenaan hal itu. Memang saya akui, semua ini berpunca daripada isu penarikan diri saya daripada Forteen. Jadi, saya akan tanggung kerugian," kata pelantun lagu Sahabat itu.

Minggu lalu, Izzue mengundurkan diri daripada kumpulan Forteen sebaik sahaja Gegar Vaganza 5 melabuhkan tirai.

Izzue mendakwa kecewa dan berasa dipulaukan oleh ahli yang lain ketika dalam tiga hari sebelum konsert akhir berkenaan berlangsung.

Post a Comment

Previous Post Next Post