Fazura bakal berduet dengan Shane Filan




Penyanyi dan pelakon popular, Nur Fazura Sharifuddin bakal berkongsi pentas dengan seorang artis terkemuka antarabangsa iaitu Shane Filan menerusi sebuah konsert Elmina Lakeside Concert yang dibawakan oleh Sime Darby Property awal tahun hadapan.

Fazura tidak dapat menyembunyikan perasaan terujanya kerana bakal bekerjasama dengan Filan yang juga anggota kumpulan Westlife.

Menurut Fazura, dia merupakan peminat tegar kumpulan yang cukup popular sekitar tahun 1990-an itu.

Biarpun mereka berdua mempunyai slot persembahan berasingan bagi konsert tersebut, namun pelantun Sayangi Dirimu itu masih menyifatkan dirinya bertuah kerana terpilih berada dalam satu konsert dengan Filan.

Malah, pihak Universal Music turut mencadangkan untuk mereka merakam lagu duet memandangkan Filan baru sahaja menandatangani kontrak sebagai artis naungan syarikat tersebut baru-baru ini.

“Insya-Allah, jika tiada sebarang halangan, saya dan Filan akan merakam lagu duet bersama, namun ia masih dalam perancangan kerana kami masih belum berjumpa untuk perkenalan lebih lanjut.

“Prinsip saya, jika mahu berduet dengan mana-mana penyanyi haruslah memiliki keserasian terlebih dulu. Saya tidak akan bersetuju hanya kerana mahukan populariti memandangkan dia seorang penyanyi antarabangsa yang popular,” jelasnya ketika ditemui pada sidang akhbar Elmina Lakeside Concert di Elmina Pavilion, Shah Alam, Selangor.

Selain perancangan lagu duet bersama Filan, Fazura juga bakal melancarkan lagu baharu yang dirakam di Los Angeles, Amerika Syarikat dan album keduanya pada awal tahun hadapan.

Permintaan

Bercakap tentang Elmina Lakeside Concert, Pengurus Besar Hartanah Sime Darby, Apollo Leong pula berkata, pemilihan Fazura dan Filan adalah atas permintaan kebanyakan pelanggan Sime Darby Property yang meminati mereka berdua.

Konsert yang berkonsepkan dalam taman tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran seorang selebriti misteri yang akan diumumkan tidak lama lagi. Sime Darby berjanji selebriti misteri yang dipilih pasti tidak menghampakan peminat.

“Fazura dan Filan memiliki kelompok peminat yang besar, maka kami berterima kasih kepada Universal Music kerana berjaya mendapatkan mereka bagi menghangatkan konsert yang bakal berlangsung.

“Seorang lagi artis yang dirahsiakan identitinya akan memeriahkan konsert tersebut, namun kami masih mencari masa sesuai untuk mendedahkan siapakah orangnya,” tutur Apollo Leong.

Selain persembahan artis popular, terdapat pelbagai aktiviti menarik lain turut diadakan bagi pengunjung seperti panggung 12D, pertunjukan bunga api dan pameran belon udara panas.

Post a Comment

Previous Post Next Post