
Tempoh tujuh tahun berkelana dalam arena muzik tanah air mencipta populariti dengan nama pentas Forteen yang membawa maksud kumpulan dianggotai oleh empat jejaka, bukanlah satu jangka masa singkat.
Ironinya, sepanjang tempoh tersebut juga bukan tidak pernah mereka dikaitkan dengan desas-desus bakal berpecah membawa haluan kerjaya masing-masing. Bagaimanapun, ia pantas dinafikan Forteen.
Kini selepas tujuh tahun dan pada tanggal 25 November lalu, ketika seluruh peminat teruja menyaksikan kemeriahan malam akhir pertandingan Gegar Vaganza musim kelima (GV5), Forteen dikejutkan dengan berita pengunduran salah seorang ahlinya, Muhammad Izzul Islam Mazlan atau lebih dikenali sebagai Izzue Islam.
Pada malam tersebut, Izzue mengumumkan keputusan untuk mengundurkan diri daripada Forteen. Berita tersebut diperkatakan menerusi GV Live+ selepas mendakwa sudah tidak mempunyai persefahaman bersama tiga ahli lain iaitu Muhammad Ridzuan Sharifuddin (One), Saiful Ridzuan Abd. Hamid (Ariz) dan Mohd. Arif Ameerais Azhar (Ameer).
Justeru, bagi Forteen yang kini tinggal bertiga, biarpun mengakui terkejut dengan keputusan dibuat tanpa sebarang perbincangan, mereka harus akur dan menghormati pendirian Izzue .
“Biarpun tanpa perbincangan awal tetapi kami harus bersetuju dan hormati keputusan Izzue untuk keluar daripada Forteen.
“Cuma kami sedikit terkilan, mengapa ia dibuat ketika malam akhir GV5 kerana ia sepatutnya dijadikan malam untuk meraikan peserta akhir dan kenangan sepanjang kami berada di situ,” kata Ameer memulakan bicara pada sidang akhbar yang berlangsung di Shah Alam baru-baru ini.
Menjelaskan tujuan sidang akhbar yang dibuat tanpa kehadiran Izzue tempoh hari, jelas Ameer ia bukanlah untuk mengeruhkan keadaan sebaliknya mahu menerangkan kedudukan sebenar kemelut dalaman yang berlaku antara mereka.
Bersetuju dengan bicara Ameer, kongsi One pula, perselisihan faham antara mereka dan Izzue bermula dengan insiden kecil yang berlaku tiga hari sebelum berlangsungnya malam akhir pertandingan GV5.
Menyorot kembali, Forteen dijadualkan terlibat membuat persembahan dalam sebuah majlis khas untuk finalis GV5. Bagaimanapun, sesi latihan nyanyian bertukar tegang apabila satu insiden berlaku.
“Ia berkenaan lagu yang hendak dibawa ketika majlis tersebut. Kami menyanyikan lagu lain daripada yang pernah dibincangkan, tetapi lagu itu belum dipilih lagi kerana ia baru latihan sahaja.
“Marah dengan keadaan itu, Izzue terus mendakwa kami tidak berbincang dan memulaukan dirinya. Saya sedar keadaan ketika itu sedikit tegang, saya ada berjumpa Izzue untuk menerangkan keadaan sebenar, namun dia menolak,” cerita One panjang lebar.
Beri ruang
Menafikan dakwaan Forteen memulaukan Izzue, kata Ariz pula, mereka sebenarnya memberi masa untuk pelakon drama Ops Cinta Din Sardin itu untuk bertenang.
Menurut Ariz lagi, hal sama juga yang diamalkan oleh setiap ahli Forteen jika berlaku sebarang masalah sepanjang tujuh tahun bersama.
“Sebenarnya bukan istilah pulau, tetapi berdiam dan memberi masa untuk bertenang. Itu yang kami lakukan sepanjang tujuh tahun ini.
“Apabila Izzue menggunakan istilah pulau, saya terkejut. Setiap daripada kami memang pernah mempunyai insiden yang membuatkan terasa atau berkecil hati, tetapi ia tidaklah sampai ingin keluar daripada kumpulan, kerana kami sayangkan Forteen,” terang Ariz.
Ditanya soal hubungan mereka sepanjang berada dalam pertandingan GV5, Ameer kemudian memberitahu Izzue pernah menyatakan situasinya yang tidak boleh bernyanyi dengan baik.
Bagaimanapun, kata Ameer ia bukanlah masalah besar kerana fungsi sesebuah band seharusnya saling melengkapi antara satu sama lain.
“Tidak dinafikan persaingan dalam GV5 memberi tekanan kepada kami. Jika diikutkan, Izzue juga pernah dua tiga kali hilang mood dan kami tidak membiarkan dia keseorangan.
“Antara masalah yang disebut, seolah-olah dia tidak punya suara untuk bernyanyi. Sebenarnya, setiap seorang daripada kami mempunyai kelemahan masing-masing
“Fungsi band adalah menutup kelemahan dengan cara melengkapi antara satu sama lain, jadi saya rasa tidak timbul masalah kualiti persembahannya kurang bagus,” jelas Ameer.
Dalam pada itu, Ariz turut menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya Forteen cemburu dengan kerjaya solo Izzue yang lebih ke hadapan.
“Tiada isu cemburu kerana tujuh tahun adalah jangka masa panjang, Kalau hendak cemburu, sudah lama ia terjadi. Bahkan kami bangga dengan setiap pencapaian ahli Forteen, kerana secara tidak langsung ia menaikkan nama kumpulan ini juga,” terangnya ringkas.
Hala tuju
Tidak mahu terus bersedih dengan perkara berkenaan, Ariz memberitahu Forteen akan terus melangkah meneruskan kerjaya seni biarpun tinggal bertiga.
Terangnya, komposer yang bertindak mencipta lagu untuk mereka juga sudah bersetuju untuk menghasilkan sebuah lagu lain. Forteen akan masuk ke studio rakaman tidak lama lagi.
“Izzue ada mengeluarkan kenyataan sudi bekerjasama untuk mempromosikan lagu baharu yang sudah dirakam tempoh hari, tetapi pada saya, kami perlu beri masa untuk bertenang.
“Saya faham niat dia baik untuk bekerjasama, tetapi biarlah kami fokus terhadap kerjaya Forteen yang baharu. Kami akan meneruskan juga beberapa undangan nyanyian yang sudah ditandatangan sebelum dia meninggalkan Forteen,” katanya.
Ditebak soal penambahan ahli baharu, penuh optimis kata Ameer:
“Kami tidak akan menambah ahli baharu. Bagi peminat yang mengikuti perkembangan Forteen, pastinya biasa melihat dalam setiap persembahan dan promosi kami banyak bergerak bertiga.
“Ia bukan hal pelik untuk kami teruskan bertiga selepas ini. Buat masa ini kami akan cuba merakamkan single baharu secepat mungkin sebelum turun untuk sesi promosi,” tuturnya mengakhiri bicara.